Rencana

Impian Malaysia di Teluk Intan

Satu acara larian diadakan di Teluk Intan, Perak sempena Hari Malaysia. Apa yang menarik sangat tentang acara larian? Bukankah acara larian telah beribu kali diadakan?

Pada pagi 16 September lalu larian tersebut diadakan dengan sesuatu yang sedikit berlainan, iaitu larian warna atau colour run. Maksudnya para peserta dihujani dengan tepung beras berwarna-warni sepanjang larian tersebut yang turut melintasi Menara Condong yang menjadi ikon pelancongan dan warisan Teluk Intan.

Jadi apa istimewanya larian warna itu?

Sekilas pandang mungkin mata hanya melihat sesuatu yang biasa dan mungkin sedikit menyeronokkan. Namun lebih jauh dari itu, ia membawa sesuatu yang lain dari biasa.

Ia adalah Larian Warna Impian Malaysia. Ia sebahagian daripada program Impian Malaysia yang bertujuan untuk menyampai, mengilham, melibat diri, mendidik dan memberdayakan rakyat dalam ruang muhibah dan semangat gotong-royong.

Acara itu adalah hasil idea Dyana Sofya, calon DAP untuk pilihanraya kecil Teluk Intan pada Mei lalu, yang dilaksanakan dengan kerjasama Terence Naidu, Adun Pasir Berdamar, serta ahli-ahli akar umbi DAP Teluk Intan.

Impian Malaysia adalah usaha perkongsian, penjagaan dan sentiasa bersama dengan rakyat melalui kegiatan seperti membina projek prasarana pedalaman, menyertai program pendidikan dan mengambil bahagian dalam inisiatif memberdayakan anak muda. Semua aktiviti ini adalah ceria, menyeronok dan menggembirakan.

Yang menjadikan larian warna di Teluk Intan sesuatu yang istimewa adalah penyertaan golongan anak muda. Malah, penyertaan yang hanya dijangka 300 orang melonjak lebih 700 orang pada hari larian tersebut. Lebih 80 peratus terdiri daripada golongan remaja.

Kegembiraan mereka jelas terpampang dengan penuh semangat walau acara itu agak santai juga. Warna-warna tepung beras yang dicurahkan ke atas kemeja-T peserta menjadikan suasana lebih berwarna-warni.

Mengapa mereka menyertai larian itu?

Mungkin mereka menyertai kerana ia adalah kegiatan riadah yang menyihatkan. Mungkin mereka hanya mahu mengisi masa lapang pada hari cuti umum. Mungkin juga tidak banyak kegiatan untuk golongan muda diadakan di bandar yang ketiga besarnya di Perak itu, maka mereka tiada pilihan kecuali menyertai larian warna tersebut.

Segalanya mungkin. Tetapi mereka dan ibu-bapa mereka sedar bahawa ia adalah larian Impian Malaysia. Mereka tahu Impian Malaysia adalah inisiatif DAP yang mengimpikan satu masyarakat majmuk, berpadu sebagai satu bangsa yang melangkaui perbezaan kaum, agama, budaya dan Bahasa. Malah ia mahu meraikan kepelbagaian, tolak-ansur dan fikiran terbuka, dan menolak kebencian, prejudis dan ekstremisme.

Jadi, sekali lagi, apa istimewanya Larian Warna Impian Malaysia di Teluk Intan?

Pertama, semakin ramai rakyat sudah tidak lagi takut dengan momokan bahawa mereka harus jauhi politik, bahawa mereka tidak boleh “campur” dengan parti politik. Mereka sudah bosan dengan propaganda lama dan basi itu.

Apa tidaknya, sejak Merdeka, rakyat dibancuh minda dengan budaya kononnya penglibatan dengan parti politik (baca:parti pembangkang) adalah sesuatu yang salah, bahaya dan mungkin juga berdosa. Sehinggakan minda rakyat diserongkan tak sedar bahawa segala kegiatan oleh parti pemerintah atau komponen pemerintah dihalalkan pula.

Ajaran songsang ini semakin diketepikan oleh anak muda. Malah, ibu-bapa mereka juga semakin sedar tentang hal ini. Mereka sedar bahawa sejak 2008 “pembangkang” sudah mentadbir beberapa negeri termasuk Pulau Pinang dan Selangor. Malah, rekod pentadbiran Pakatan Rakyat di Pulau Pinang dan Selangor lebih baik daripada kebanyakan negeri tadbiran Barisan Nasional.

Kedua, ramainya remaja menyertai kegiatan Impian Malaysia memberi petanda bahawa masa depan Malaysia belum gelap lagi. Di kala pemerintah semakin rakus mempergunakan undang-undang dan kuasa untuk menutup mulut dan minda rakyat, semakin ramai anak muda yang mula berani untuk menimbang semula apa yang adil dan zalim, yang benar dan batil.

Mungkin bagi sesetengah remaja, usia mereka terlalu muda untuk mengecapi makna hak dan kebebasan. Namun pintu sudah dibuka untuk mereka agar proses pembesaran mereka tidak lagi diikat dengan budaya songsang tajaan pemerintah yang mahu rakyat sentiasa takut dan hidup dalam kegelapan.

Memang benar larian warna di Teluk Intan itu hanyalah kegiatan riadah yang sihat. Namun ia menjadi satu harapan untuk generasi yang sedang mendekati alam dewasa, khususnya bagi mengelakkan mereka terjerumus dalam kancah perkauman dan politik benci. – Roketkini.com