Berita

Kertas UPSR bocor: Muhyiddin, Idris Jusoh perlu dipindah jawatan

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan timbalannya Datuk Seri Idris Jusoh perlu ditempatkan ke jawatan berbeza sama seperti pegawai Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) berikutan kebocoran empat kertas soalan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), baru-baru ini.

Ahli Parlimen DAP Serdang Dr Ong Kian Ming berkata, tanggungjawab itu tidak seharusnya berhenti dengan menggantung jawatan Pengarah LPM Dr Na’imah Ishak dan timbalannya, Dr Wan Ilias Wan Salleh akibat kebocoran yang memaksa hampir setengah juta pelajar Darjah Enam menduduki semula peperiksaan.

“Jika Pengarah LPM dan timbalan beliau ‘ditempatkan’ untuk tugas lain, mengapa tidak Muhyiddin dan Idris Jusoh juga diberikan tindakan serupa kerana kegagalan mereka menjalankan siasatan segera berhubung kebocoran tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kian Ming menyatakan, pengesahan dua lagi kebocoran melibatkan kertas Matematik dan Tamil minggu selepas insiden awal (Bahasa Inggeris dan Sains) adalah memalukan.

“Mengapa tiada sebarang rancangan untuk menghadapi sebarang kebocoran supaya pelajar-pelajar UPSR tidak perlu menunggu sehingga 9 Oktober untuk menduduki peperiksaan semula?,” soalnya.

MES semalam mengumumkan pembatalan kertas Matematik UPSR dengan kod 015/1 (Sekolah Kebangsaan), 025/1 (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina) dan 035/1 (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil).

Manakala kertas Bahasa Tamil dengan kod 036 dan 037 turut dibatalkan setelah disahkan bocor.

Berikutan keputusan itu, lebih 470,000 pelajar Darjah Enam kini terpaksa mengambil semula peperiksaan Matematik dan Bahasa Tamil pada 11 Oktober nanti.

Susulan kebocoran kertas Bahasa Inggeris dan Sains, Muhyiddin Yassin dan Idris Jusoh hanya memohon maaf kepada semua yang terlibat.

Bernama pada 12 September lalu melaporkan Muhyiddin mengumumkan penggantungan Dr Na’imah Ishak dan Dr Wan Ilias Wan Salleh dan berkuatkuasa serta merta.

Bagaimanapun, semalam Ketua Setiausaha Kementerian Tan Sri Dr Madinah Mohamad berkata mereka tidak digantung tetapi diberi tugas lain. -Roketkini.com