Berita

Pertahan kesalahan kerajaan, Paul Low digesa letak jawatan

IPOH, 26 SEPT: Naib Pengerusi DAP Kebangsaan M Kula Segaran menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low meletakkan jawatan berikutan tindakannya mempertahankan Akta Hasutan 1948.

“Beliau harus meletakkan jawatan kerana mengecewakannya harapan  tinggi rakyat kepadanya untuk menegakkan hak asasi manusia dan prinsip-prinsip demokrasi.

“Malangnya Low menjadi pembela perbuatan salah kerajaan,” kata Kula dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Ipoh Barat itu berkata, tindakan Low mempertahankan kesalahan bukan baru, kerana tahun lalu beliau melakukan perkara sama dengan menafikan laporan Ketua Audit Negara berhubung penyelewengan kerajaan.

Tahun lalu, Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan kerajaan sewenang-wenangnya melakukan penyelewengan dan pembaziran menyebabkan kemarahan orang awam dan Low bertindak memberi alasan mustahil memperoleh sasaran ‘kecacatan sifar’.

“Adakah dia memahami mengapa Perdana Menteri membuat janji pada tahun 2012 untuk memansuhkan Akta Hasutan? Low sepatutnya menjadi pemerhati dan bertindak meminta Najib menunaikan janjinya.

“Bolehkah dia menafikan bahawa pendakwaan dan penangkapan di bawah Akta Hasutan sekarang ini adalah ‘pendakwaan terpilih’ apabila hanya pengkritik kerajaan disasarkan?,” katanya.

Kula turut mengecam kenyataan Low yang tidak bersetuju dengan kebebasan mutlak dan mendakwa perlu ada batasan dalam kebebasan bersuara.

“Siapa yang minta kebebasan mutlak? Apa yang rakyat mahukan adalah kebebasan demokrasi, bukannya kebebasan mutlak.

“Dia mungkin menteri paling keliru apabila bercakap soal ‘kecacatan sifar’ dan kebebasan mutlak, tapi dia tidak boleh mengelirukan rakyat,” ujarnya. – Roketkini.com