Berita

Wartawan Utusan akui artikelnya bertujuan burukkan Kit Siang

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Penulis artikel fitnah Mingguan Malaysia terhadap Lim Kit Siang, Kasthuri K Manimaran mengaku artikel itu bertujuan untuk menjatuhkan reputasi dan memburukkan imej tokoh veteran DAP itu di mata masyarakat.

Beliau mengakui hal tersebut ketika ditanya peguam Kit Siang, Gobind Singh Deo di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta pagi tadi.

Artikel bertajuk ‘Kit Siang manipulasi CEC?’ oleh Mingguan Malaysia pada 18 Ogos 2013 memetik kandungan buku ‘Laporan Ekuiti’ memfitnah Kit Siang menipu dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada tahun 2012, kononnya demi menjamin kedudukan dalam parti itu.

Antara tuduhan dilemparkan adalah berhubung sejumlah 753 perwakilan tidak dimaklumkan tentang Kongres DAP, serta kewujudan 547 pengundi hantu dari Pulau Pinang.

“Adakah anda setuju bahawa balasan (penafian) Kit Siang yang disiarkan di blog (berhubung tuduhan ‘Father Augustus Chen’) tidak dimasukkan di dalam artikel anda kerana ia ditulis untuk memburukkan dan memfitnah beliau?” tanya Gobind.

“Setuju,” kata Kasthuri.

Kasthuri juga bersetuju artikel itu memberikan kesan yang amat teruk (severe impact) secara politik dan peribadi kepada Ketua Parlimen DAP itu.

Sepanjang sesi pertanyaan balas (cross examination) itu, Kasthuri yang berpakaian hitam kelihatan serba-salah malah memberikan jawapan bertentangan, antaranya ketika ditanya adakah beliau menyesal menulis artikel itu.

Beliau juga beberapa kali mengeluarkan kata-kata ‘saya hanya mengikut arahan’ ketika menjawab pertanyaan Gobind.

Sebelum itu, Kasthuri mengaku bahawa beliau tetap menulis artikel itu, walaupun menyedari Kit Siang secara konsisten menafikan fitnah yang dilemparkan terhadapnya dalam buku tersebut, serta mengenali ‘Father Augustus Chen’.

Malah, beliau mengaku tidak pernah menghubungi Kit Siang secara langsung bagi mengesahkan tuduhan yang terkandung dalam artikel tersebut.

Ketika disoal peguam Utusan Mohd Izral Khairy 21 Ogos lalu, Kit Siang konsisten menegaskan kandungan artikel itu adalah penipuan semata-mata.

Pada sesi tersebut, Hakim Mahkamah Tinggi Datin Yeoh Wee Siam menetapkan salinan buku ‘Laporan Ekuiti’ yang kononnya ditulis individu bernama ‘Father Augustus Chen’ yang menjadi asas kepada artikel itu tidak boleh dijadikan bahan bukti perbicaraan kerana ia tidak dapat disahkan keasliannya.

Isu pemilihan CEC itu juga menyaksikan pertikaian antara DAP dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang berlarutan, apabila ROS enggan mengiktiraf CEC, walaupun selepas membuat pemilihan semula pada 29 Desember tahun yang sama.

Sepanjang pertikaian itu, DAP konsisten menyatakan masalah yang timbul berpunca daripada kesilapan teknikal, bukannya penipuan.

Kemelut 21 bulan itu akhirnya selesai di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 23 September lalu apabila ROS mengiktiraf Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP.

Ia sekaligus menafikan tuduhan tidak berasas seperti yang tertulis dalam buku ‘Laporan Ekuiti’ serta artikel Utusan itu.

Apa kaitan dengan CEC?
Alasan Kasthuri bahawa artikel itu ditulis untuk ‘kepentingan awam’ kerana kononnya berkaitan dengan isu pemilihan CEC juga dipatahkan Gobind.
Gobind berkata, Kasthuri hanya menggunakan alasan ‘kepentingan awam’ untuk menutup niat sebenar artikel itu – memfitnah Kit Siang.

“Anda tahu sebab yang diberikan DAP adalah masalah teknikal? Anda setuju bahawa isu pemilihan CEC 2012 tiada kaitan dengan tuduhan terhadap Kit Siang (sepanjang kerjaya politik) sejak 1966?

“Setuju,” jawab Kasthuri.

Dalam artikel itu, Kit Siang turut difitnah menjalankan penipuan dan manipulasi sepanjang kerjaya politiknya, antaranya menggunakan sentimen kaum bagi merampas jawatan Setiausaha Agung DAP daripada Devan Nair pada tahun 1968.

Sedangkan pada ketika itu, beliau adalah Setiausaha Organisasi Kebangsaan dan Devan Nair tidak pernah dijatuhkan sehinggalah beliau pulang ke Singapura selepas khidmatnya sebagai Ahli Parlimen Bangsar tamat.

Siapa ‘Father Augustus Chen’?

Ketika disoal Mohd Izral Khairy, Kasthuri berkata beliau tidak mengenali, mahu pun pasti akan kewujudan identiti ‘Father Augustus Chen’.

“Hanya melalui temubual dengan beberapa bekas ahli DAP. Khabar angin mengatakan beliau mungkin Penasihat seumur hidup DAP Dr Chen Man Him,” katanya.

Ekoran itu, Mahkamah memanggil Dr Chen saksi terakhir pada 3 Oktober ini. – Roketkini.com