Berita

Tarif air Johor paling tinggi di Malaysia, kualiti antara terburuk

JOHOR BAHRU, 27 SEPT: Tidak masuk akal bagi kerajaan Johor untuk menaikkan tarif air negeri itu, pada masa mutu kebersihan dan perkhidmatan Syarikat Air Johor (SAJ) antara yang terburuk dalam negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mengkibol Tan Hong Pin berkata, SAJ perlu menyelesaikan pelbagai kelemahan dalam pengurusan yang seterusnya menjejaskan perkhidmatan mereka sebelum bercadang menaikkan tarif air.

“Rakyat Johor selama ini membeli air pada kadar termahal di Malaysia. Namun mutu bekalan air yang sampai ke rumah mahu pun premis perniagaan bukan yang terbaik.

“Saya tidak setuju dengan keputusan kerajaan negeri untuk tunduk kepada permintaan SAJ. SAJ perlu yakinkan penduduk bahawa mutu perkhidmatan bekalan air dapat dipertingkatkan,” katanya dalam satu kenyatan.

Pada 23 September lalu, Exco Kerajaan Negeri Datuk Ir Hasni Mohammad mengumumkan tarif air akan dinaikkan daripada 10 hingga 12 peratus bermula selewatya awal 2015, dengan alasan kos rawatan iar meningkat dua kali ganda.

Katanya lagi, antara masalah yang perlu diselesaikan SAJ adalah mengurangkan peratusan air tidak berhasil (non-revenue water, NRW) , serta pencemaran air di empangan Macap dan Sembrong.

Hong Pin memetik Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berhubung kadar NRW yang tinggi pada tahun lalu, iaitu pada 26.4 peratus.

“Ini bermakna, untuk setiap 1000 liter air terawat, 264 liter hilang antaranya kerana kebocoran atau dicuri. SAJ perlu sasarkan untuk menurunkan NRW ke tahap kurang daripada 20 peratus dalam masa terdekat.

“SAJ patutnya menjadikan NRW sebagai teras urusniaga mereka, bukannya membuat rintihan mereka alami kerugian supaya tarif dinaikkan,” katanya.

Beliau juga menyatakan masalah air paip kotor dan tidak selamat yang dihadapi penduduk Kluang, Batu Pahat dan Muar, selain masalah kualiti air yang payau di Kota Tinggi, Ledang dan Muar.

“Ini petanda kelemahan perkhidmatan SAJ dan pemantauan kurang berkesan oleh kerajaan negeri,” katanya, yang pernah melancarkan kempen di laman Facebooknya berhubung air keruh dan busuk di kawasan rumahnya di Kluang.

Air adalah keperluan, bukan barang niaga

Beliau juga mengingatkan SAJ bahawa perkhidmatan air melibatkan kepentingan seluruh rakyat Johor, bukan semata-mata peluang meraih keuntungan untuk golongan tertentu.

“Maka saya menyeru agar kerajaan negeri menarik balik sokongan untuk SAJ menaikkan tarif air ini. Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang bertanggungjawab meluluskan sebarang kenaikan perlu menolak permohonan SAJ.

“Tidak mungkin rakyat boleh terima peningkatan harga air sekiranya SAJ dan kerajaan masih tidak dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik,” katanya lagi. – Roketkini.com