Rencana

Selangor mesti buktikan kecemerlangan

oleh: Tony Pua

DAP Selangor mengalu-alukan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa, Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor yang baru dan menutup krisis politik yang berpanjangan, mengecewakan dan tidak diperlukan di negeri tersebut.

Sementara DAP Selangor amat resah dengan cara kehendak majoriti di Dewan Undangan Negeri telah diinjak, tidak kalah penting ialah supaya kita menyelesaikan kemelut politik ini dengan pantas, agar kita dapat meneruskan khidmat kepada rakyat Selangor seperti sedia kala.

Oleh yang demikian, DAP Selangor dan Adun-Adunnya akan memberi sokongan dan kerjasama penuh kepada Menteri Besar yang baru bagi memastikan bahawa kita memaksimakan peluang dalam masa tiga tahun akan datang untuk membuktikan kepada orang ramai kenapa krisis ini, serta kesabaran mereka amat berbaloi.

Dengan pelantikan Azmin Ali, kerajaan baru ini diberi nafas segar untuk berusaha dengan cemerlang dalam ruang-ruang yang tergendala sewaktu pentadbiran sebelum ini, serta mencapai kejayaan yang lebih tinggi berbanding apa yang telah dicapai oleh pentadbiran Pakatan Rakyat dalam jangka masa lima tahun dari 2008 hingga 2013.

DAP Selangor berharap untuk melihat pentadbiran yang diketuai Azmin dan barisan Exco baru yang lebih konsultatif, inklusif dan mengutamakan rakyat demi memenuhi janji Pakatan Rakyat kepada rakyat. Kami percaya bahawa dengan bekerja secara berpasukan, Azmin Ali akan mampu membawa Selangor ke tingkat yang lebih baik dengan menjadikannya negeri yang diurus tadbir secara paling cemerlang di negara ini.

Sebagai sebuah kerajaan, kita mesti mematuhi piawaian tertinggi dari segi kebertanggungjawaban dan ketelusan, dengan melaksanakan dasar-dasar seperti tender terbuka dan pengisytiharan harta. Kita mestilah menjadi kerajaan yang tidak langsung bertoleransi terhadap rasuah dan kronisme dengan menghukum mereka yang bersalah dan memberi galakan kepada mereka yang bersih dan cekap.

Kita juga harus memastikan bahawa wakil rakyat, ahli majlis dan penjawat awam, terutamanya di pihak berkuasa tempatan akan mendengar suara rakyat sambil mereka berkhidmat, daripada setakat meletakkan diri di taraf yang lebih tinggi. Sebagai sebuah pentadbiran yang menentang salah guna kuasa serta penindasan hak asasi oleh Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional, Selangor mesti membuktikan dirinya sebagai penyuluh harapan dengan bergiat aktif melaksanakan dasar-dasar pendemokrasian.

Pada masa yang sama kami berharap bahawa di bawah kepimpinan Azmin, Kerajaan Negeri akan menjauh daripada terjerat melakukan perniagaan. Bukan kerja Kerajaan untuk terlibat dalam perniagaan demi mendapatkan keuntungan. Kerajaan yang terbaik ialah yang mencipta persekitaran kondusif supaya perniagaan dapat berkembang makmur. Kami sebaliknya percaya bahawa kerajaan negeri dan GLCnya boleh distruktur semula untuk kembali fokus kepada aspek-aspek yang telah diabaikan oleh syarikat-syarikat berasaskan keuntungan, seperti rumah mampu milik dan infrastruktur pengangkutan yang lebih baik.

Kami percaya bahawa sekiranya pentadbiran baru ini mampu mencapai kesemua di atas dalam masa tiga tahun akan datang, pastinya Azmin Ali akan terakam sejarah sebagai Menteri Besar Selangor yang terbaik. Hanyalah dengan rakam jejak yang terbukti barulah rakyat akan bersetuju untuk memperbaharui mandatnya kepada kita dalam pilihanraya akan datang. – Roketkini.com