Berita

Polis digesa siasat ahli Umno terlibat penipuan jongkong emas bernilai RM4.9 juta

GEORGE TOWN, 29 SEPT: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng meminta polis mengambil tindakan terhadap seorang lelaki dipercayai merupakan ahli parti Umno menjalankan urusan jual beli jongkong emas kepada sekumpulan individu dengan harga lebih murah berbanding harga pasaran.

Guan Eng dalam sidang medianya semalam menggesa Ketua Polis negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi mempercepatkan siasatan berikutan mangsa telah membuat laporan polis sejak beberapa bulan lalu.

Menurutnya, ahli Umno tersebut dipercayai merupakan salah seorang pemmpin pemuda peringkat cawangan di negeri ini.

“Dia dipercayai adalah salah seorang dariapada mereka yang menceroboh bangunan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 19 Mei tahun ini,” kata Guan Eng, merujuk insiden rempuhan oleh ahli Umno beberapa bulan lalu, sebagai reaksi kepada kenyataan ADUN Seri Delima, RSN Rayer.

“Kami berharap pihak polis boleh menyiasat dan mengambil tindakan segera. Tidak syak lagi bahawa ini adalah satu kes penipuan yang memberi kesan kepada lebih daripada 17 keluarga,” kata Guan Eng.

Salah seorang mangsa, Abdul Wahab S Mohd Mydin yang mewakili 17 pihak dalam kenyataannya berkata, satu laporan telah dibuat terhadap seorang individu bernama Wan Norazman Ariffin kerana gagal membuat bayaran penuh bagi 16 kg emas jongkong jenis 999.9 Fine Gold.

“Beliau terlibat dengan kes penipuan jual-beli emas jongkong 999.9 dengan bayaran ansuran cek (post dated). Beliau membeli emas dengan post dated dari kami secara ansuran sejak 2013.

“Beberapa cek sebanyak RM710,349 telah ditunai, selebihnya RM1,570,161 ditendang dan ada yang masih beum sampai tarikh cek sebanyak RM2,665,108,” kata Abdul Wahab dalam kenyataan.

Menurut Wahab, nilai pembelian bagi 16 kg emas jongkong tersebut berjumlah RM4.9 juta dan beliau difahamkan akaun bank syarikat tersebut telah ditutup.

Justeru 18 laporan polis dibuat di ibu pejabat polis Patani Road sejak 27 Jun tahun ini, namun tidak ada sebarang tindakan diambil.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, kertas siasatan berhubung kes tersebut 70 peratus lengkap dan pihaknya telah mengambil keterangan daripada 12 individu.

Selain itu, 100 keping cek yang dipercayai digunakan untuk urusan jual beli jongkong emas itu telah dirampas dan

Justeru, Lim Guan Eng menasihatkan orang ramai untu berhati-hati dari terperangkap dengan penipuan dan mereka yang pernah menjadi mangsa sindiket menghubungi Abdul Wahab atau setiausaha politiknya political Wong Hon Wai, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Air Itam. – Roketkini.com.