Berita

GHAH tuntut Peguam Negara tunai janji, semak kes Akta Hasutan

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) hari ini menuntut Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail menunaikan janjinya untuk menyemak semula beberapa kes di bawah Akta Hasutan 1948.

Pada 9 September lalu, Abdul Gani berkata akan menyemak semula beberapa kes, antaranya melibatkan pensyarah Undang-Undang Universiti Malaya Profesor Madya Dr Azmi Sharom.

“Dalam kenyataan bertulis, Abdul Gani menjamin akan menyemak semula kes-kes ini dan mengumumkannya nanti.

“Beliau secara khusus  berkata ia berkenaan kebimbangan awam, bahawa Pejabat Peguam Negara peka dengan kebimbangan yang timbul daripada pendakwaan itu.

“Namun, bertentangan dengan jaminan itu, semakin ramai individu disiasat serta didakwa, termasuk dua tokoh, iaitu pakar perlembagaan Dr Aziz Bari dan bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Tan Sri Simon Sipaun.

“Dalam kes aktivis Adam Adli dan Safwan Anang pula, pendakwa malah inginkan hukuman tahanan dan pencegahan (deterrent and custodial sentence),” kata GHAH dalam satu kenyataan.

Aziz Bari akan disiasat polis esok berhubung kenyataannya tentang isu Menteri Besar Selangor, manakala Simon berkenaan hubungan Sabah dalam Persekutuan Malaysia.

Selain bertentangan dengan kenyataan Gani sendiri, kata GHAH lagi, keadaan kini juga bertentangan dengan janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memansuhkan akta itu.

“Malah Pejabat Peguam Negara pada 2012 ditugaskan untuk merumuskan rang undang-undang bagi menggantikan Akta Hasutan.

“Maka kami menyeru Peguam Negara untuk menunaikan jaminannya kepada rakyat, bahawa dakwaan Akta Hasutan akan disemak semula dan untuk membuat perkara yang benar dengan menggugurkan semua dakwaan, sementara menunggu ia dimansuhkan,” kata GHAH lagi. – Roketkini.com