Berita

Minta pandangan rakyat sebelum bawa Akta MAS ke Parlimen

KUALA LUMPUR, 30 SEPT:  Kerajaan perlu mendapatkan pandangan rakyat terlebih dahulu sebelum membentangkan Akta MAS (Malaysian Airline System) pada persidangan parlimen akan datang.

Ketua Biro Pembangunan Politik dan Ekonomi DAP Perak Chong Zhemin berkata, beliau menjangkakan akta itu diluluskan dan bakal membawa kesan besar , khususnya kepada industri penerbangan dan kakitangan MAS sendiri.

Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd Tan Sri Azman Mokhtar semalam mengesahkan Akta MAS akan diusulkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika pembentangan Belanjawan 2015 10 Oktober ini.

Menurut Azman, akta tersebut bertujuan ‘memudahkan penstrukturan semula syarikat penerbangan itu secara menyeluruh’.

“Saya pasti jika Akta MAS diusulkan, ia pasti akan diluluskan kerana BN memiliki majoriti di Parlimen. Ini menjadikan Parlimen sebagai ‘rubber stamp’ sahaja,” kata Chong.

“Maka amat penting untuk Perdana Menteri mendedahkan maklumat tentangnya kepada orang ramai, dan mendapatkan pandangan mereka.

“Pandangan awam dan juga pakar perlu dipertimbangkan sebelum perbahasan berhubung akta yang tidak pernah wujud sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Chong menjelaskan, antara kesan buruk penguatkuasaan akta itu antaranya pengubahan status perundangan (legal status) kontrak kakitangan MAS.

“Akta itu tidak adil dan bertentangan dengan hak, kerana ia boleh membatalkan kontrak pekerjaan dengan MAS,” katanya lagi.

Wujud Akta 1MDB atau Proton selepas ini?

Beliau turut mempersoalkan kerajaan yang sehingga kini masih menutup mulut berhubung akta tersebut.

“Mengapa kerajaan ingin meluluskan akta untuk menyelamatkan MAS, berbanding menggunakan undang-undang sedia ada untuk membenarkan MAS memfailkan status ‘muflis’?

Tambah Chong dengan lulusnya akta itu ia akan menjadi duluan (precedent) untuk parlimen meluluskan apa sahaja akta untuk menyelamatkan syarikat.

Duluan melalui pewartaan Akta MAS akan menyekat persaingan dalam industri penerbangan, mewujudkan monopoli yang akhirnya merugikan rakyat Malaysia.

“Adakah kita akan melihat Akta 1MDB atau Akta Proton pula selepas ini?” soalnya. – Roketkini.com