Rencana

Tak nak GST? Kerajaan bayar rakyat guna bas

Oleh : Liew Chin Tong

Apabila saya melontarkan soalan “bolehkah kita bayar rakyat supaya mereka menaiki bas?”, jawapan diberi ialah “tidak!” Namun seandainya kita meneliti dengan lebih mendalam, barangkali pengangkutan awam (terutamanya bas, memandangkan pengangkutan jenis lain lebih menelan kos dan memakan masa untuk direalisasikan) yang ditampung dana awam adalah jawapan untuk menangani cabaran ekonomi dan kewangan Malaysia.

Kerajaan Najib telah bertekad untuk melakukan dua perkara serentak pada tahun kewangan akan datang iaitu, pertama, melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mulai 1 April 2015 dan, kedua, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Jala, harga minyak akan dinaikkan sebanyak 30% hingga 50%. Sudah tentu kerajaan kita lebih selesa dengan kata-kata yang lebih lunak, iaitu “rasionalisasi subsidi”, jika dibandingkan dengan istilah yang senang difahami ramai, iaitu “naik harga”.

Dalam isu GST, Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak telah menerima nasihat yang kurang bijak daripada penasihatnya dan juga firma akaun (yang kebetulan menjadi satu-satunya pihak yang dimanfaatkan oleh pelaksanaan GST) bahawa GST adalah cara terbaik untuk mengimbangi angka perbelanjaan atas kertas.

Sudah tentu beliau akan membayar harga politik yang membebankan kerana, antaranya, tidak meneliti GST secara terperinci, tidak menangani masalah rasuah dan pembaziran sebelum melaksanakan sistem pencukaian yang zalim, dan tidak mencari alternatif yang lain.

GST adalah cukai baru ke atas jutaan rakyat Malaysia yang sebelum ini tidak pernah membayar cukai secara langsung. Dengan pelaksanaan GST kelak, mereka terpaksa membayar cukai apabila mereka membeli. Sudah tentu kita sedar akan masalah “elak cukai” yang berlaku sekarang, tetapi kita mempunyai undang-undang yang memadai untuk menangani masalah ini. Jadi masalah “elak cukai” bukan isu di sini.

Realitinya, kebanyakan rakyat tidak membayar cukai kerana pendapatan mereka tidak mencecah angka yang memadai untuk dikenakan cukai. Kerajaan Barisan Nasional sudah tentu memahami hakikat ini dan telah menabur gula BR1M untuk isi keluarga yang mana pendapatan bulanan mereka di bawah paras RM4,000. Lebih 60% daripada populasi Malaysia tergolong dalam kategori ini.

Maka kenyataan Najib bahawa GST adalah “adil” untuk mengagihkan beban daripada cuma 1.2 juta pembayar cukai sekarang kepada semua rakyat Malaysia menjadi bahan lawak.

Pelaksanaan GST pada peringkat ini menghakis lagi “pendapatan boleh guna” golongan 60% terbawah. Dengan kata lain, perut perlu diikat dengan lebih ketat lagi. Itu belum lagi kita sentuh dampak negatifnya terhadap ekonomi permintaan domestik secara keseluruhannya. Permintaan domestik telah menjadi talian hayat kepada ekonomi Malaysia sejak krisis kewangan global berlaku, kerana pasaran luar telah terbantut.

Tawaran kerajaan untuk pelaksanaan GST adalah potongan cukai pendapatan dan ia akan menjurus ke arah sebuah masyarakat yang lebih tidak sekata.

Dalam isu minyak pula, secara teorinya, jika dijual tanpa subsidi, penyeludupan tidak akan berlaku, tiada lagi ketirisan dalam bajet, dan minyak akan digunakan secara berkesan. Dengan kata lain, pelepasan karbon juga boleh dikurangkan.

Tetapi kesan yang menyusul juga sama pentingnya dengan apa yang kita lakukan. Urutan dasar adalah sama penting dengan dasar itu sendiri. Menaikkan harga minyak tanpa menawarkan pengangkutan awam yang memenuhi keperluan dan berkesan hanya akan ‘meragut nyawa rakyat’.

Apa tidaknya, mereka yang memandu kereta kecil seperti Kancil, Viva dan sebagainya (biasanya berpendapatan rendah), terpaksa menggunakan motosikal untuk menjimatkan kos pengangkutan. Tetapi sebagaimana kita sedia maklum, penunggang motosikal adalah golongan mangsa terbesar dalam kemalangan jalanraya.

Menurut laporan Keselamatan Jalanraya tahun 2013 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Malaysia mencatat kematian tertinggi di jalanraya bagi setiap 100,000 penduduk di dunia (India 18.9, Rusia 18.6, China 20.5, Malaysia 25). Bagaimanapun tiada orang menafsir angka ini sebagai loceng amaran, tiada juga sesiapa bersuara tentang ‘pembunuhan’ secara besar-besaran yang berlaku saban hari. Penunggang motosikal mencakupi 60% daripada kematian di jalanraya.

Harga minyak hanya boleh diletakkan pada harga pasaran tanpa subsidi seandainya perkhidmatan pengangkutan awam berada di tahap yang memuaskan – cukup untuk membuatkan penunggang meninggalkan motorsikal mereka di rumah. Jikalau tidak, maka tangan penggubal dasar ‘dicemari dengan darah’.

Sebuah bas buatan Eropah yang baik menelan kos kira-kira RM600,000. Kos operasi tahunan untuk sebuah bas pada umumnya tidak lebih daripada RM200,000, termasuk tenaga kerja dan kos minyak. Jadi, dengan RM2 juta cukup untuk kita membeli sebuah bas dan menanggung kos operasi 7 tahun. Perhitungan kasarnya, RM2 bilion boleh menyediakan kita 1,000 unit bas.

Kuala Lumpur kini mempunyai kurang daripada 1,000 unit bas, sedangkan pada tahun 1985, sebelum pelancaran kereta Proton (ketika bas adalah alat pengangkutan untuk kebanyakan orang), kita mempunyai sekurang-kurang 1,500 unit bas, termasuk bas mini.

Subsidi minyak menelan RM29 bilion pada tahun 2014. Ia boleh menampung banyak bas untuk banyak tahun, secara percuma. Dan antara kebaikan selebihnya, menangguhkan pelaksanaan GST. – Roketkini.com