Berita

Nelayan terjejas akibat projek Forest City, mana janji MB Johor mahu bela?

JOHOR BAHRU,  1 OKT: Kehidupan ratusan nelayan yang menetap dan bergantung hidup dekat Tanjung Kupang terjejas akibat projek Forest City di perairan perairan Selat Johor.

Ahli jawatankuasa DAP Johor Mahdzir Ibrahim dalam kenyataannya hari ini menuntut pemaju Forest City dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) menjelaskan pelan pampasan atau kebajikan kepada kumpulan nelayan yang menerima kesan langsung akibat projek tersebut.

“Sebelum ini Menteri Besar Johor berjanji kerajaan negeri mengenakan caj rm 0.30 bagi sekaki persegi dari jumlah ribuan hektar projek tersebut. Hasil jualan tanah itu yang dijangka melebihi RM 104 juta akan digunakan untuk membantu kumpulan nelayan.

“Namun, beliau tidak memperincikan janji tersebut. Kita tidak tahu bagaimana janji tersebut dapat dilaksanakan,” kata Mahdzir dalam satu kenyataan.

Menurut Mahdzir, Jabatan Perikanan merekodkan 415 nelayan berdaftar di kawasan Johor Bahru Barat, tidak termasuk jumlah ahli keluarganya dan nelayan bukan-bumiputera.

“Jika jumlah ini dinisbahkan dengan tiga orang ahli keluarga, jumlahnya sudah ribuan orang.

“Perlu diingat kawasan ini paling terjejas akibat penambakan laut, manakala kawasan lain seperti Tanjung Piai dan Pontian mencatat hampir 2,000 nelayan, akan menerima impak dalam tempoh terdekat,” katanya.

Projek Forest City seluas 4,000 ekar melibatkan pembinaan empat pulau buatan serta penambakan pantai di perairan Tanjung Kupang antara barat daya Johor dan barat laut Singapura.

Pulau itu akan mempunyai kawasan perumahan dan lot komersial dijangka memberi keuntungan hampir RM290 bilion kepada pemaju Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGP) dalam masa 30 tahun.

CGP ialah usahasama 60-34 antara Country Garden Holdings Ltd (China) dengan Esplanade Danga 88 Sdn Bhd dan KPRJ sebagai rakan kongsi.

Dalam pada itu, Mahdzir turut mempersoalkan mengapa Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) tidak dilibatkan untuk membantu merancang kebajikan kumpulan nelayan yang terjejas akibat projek tersebut.

“LKIM adalah agensi yang fokus menjaga hal-ehwal pembangunan dan kebajikan kumpulan nelayan. Kita juga tertanya-tanya mengapa pihak LKIM tidak dilibatkan dalam hal ini,” katanya.

Tambah Mahdzir, sehingga hari ini pihak pemaju, KPRJ, dan agensi kerajaan masih belum menjelaskan rancangan dan hala tuju bagi memastikan nasib golongan nelayan terbela.

“Kerana kesan utama projek ini adalah kehilangan sumber pendapatan dan mata pencarian golongan nelayan,” ujarnya.  Roketkini.com