Berita

Akta Hasutan: Bila Gani nak tunai janji semak semula dakwaan?

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Bilakah Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail akan menunaikan janjinya untuk menyemak semula dakwaan di bawah Akta Hasutan?, soal Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Ia berikutan kenyataan Abdul Gani pada 9 September lalu bahawa Pejabat Peguam Negara akan menyemak semula dakwaan terhadap beberapa tokoh, termasuk pensyarah undang-undang Universiti Malaya Profesor Madya Dr Azmi Sharom.

Dalam kenyataan sama, Abdul Gani juga berkata semakan itu adalah ‘prosedur biasa’ dan keputusannya akan dibuat ‘secepat mungkin’.

“Bolehkah Abdul Gani jelaskan, apakah yang beliau maksudkan dengan ‘secepat mungkin’? Adakah ia akan memakan masa berbulan atau bertahun, sehinggalah tamat tempohnya sebagai Peguam Negara?” soal Kit Siang dalam satu kenyataan.

Desakan sama turut dibuat gabungan NGO Gerakan Hapus Akta Hasutan 30 September lalu, namun masih belum ada apa-apa jawapan sehingga hari ini.

Kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi, hakikatnya tiada sesiapa pun yang dapat memastikan sama ada Abdul Gani serius atau tidak dengan janjinya.

“Siapa yang bertanggungjawab melaksanakannya dan adakah ia sudah pun bermula?” katanya lagi.

Lebih malang katanya, siri siasatan di bawah Akta Hasutan semakin menjadi-jadi selepas janji Abdul Gani itu.

Antara mangsa terbaru akta itu adalah pakar perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari ekoran kenyataannya dalam isu Menteri Besar Selangor, dan Ketua Malaysian Indian Progressive Association (Mipas) A Rajaretinam yang mengkritik Kongres India Muslim Malaysia (Kimma).

Najib perlu jawab di Parlimen

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan tindakan Abdul Gani yang membisu tentang perkara itu bertentangan dengan dasar Program Transformasi Nasional kerajaan, yang menjanjikan kebertanggungjawaban dan ketelusan.

“Maka Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu membuat satu kenyataan kementerian apabila Parlimen sambung bersidang Selasa nanti, dan maklumkan kepada semua berhubung perjalanan semakan semula itu.

“Beliau juga perlu menyatakan kembali janjinya dua tahun lalu untuk memansuhkan Akta itu,” katanya lagi. – Roketkini.com