Berita

Azmi Sharom dihalang berucap di UKM

BANGI, 2 OKT – Pensyarah Undang-undang Universiti Malaya Prof Madya Dr Azmi Sharom dihalang daripada berucap dalam majlis anjuran Persatuan Mahasiswa UKM di sini malam tadi.

Azmi akhirnya terpaksa berucap di tempat letak kereta stesen KTM Komuter UKM yang terletak jauh di luar kawasan kampus.

Pensyarah kontroversi tersebut terlebih dahulu dijadualkan melancarkan Gerakan Mansuhkan Akta Hasutan peringkat UKM, sebelum selanjutnya berkongsi pengalaman dan buah fikiran bersama mahasiswa undang-undang universiti tersebut.

Malangnya pihak pentadbiran bertindak menghalang Azmi daripada berucap dan mengarahkan ratusan mahasiswa yang hadir ke bangunan Pusanika malam tadi supaya beredar.

Ahli akademik tersebut baru sahaja berjaya mendapat izin mahkamah untuk membuat semakan kehakiman terhadap keperlembagaan Akta Hasutan 1948.

Beliau merupakan salah seorang mangsa akta tersebut yang digunakan secara berleluasa kebelakangan ini untuk menyiasat, mendakwa dan menghukum beberapa pemimpin Pakatan Rakyat, aktivis masyarakat serta ahli akademik sepertinya.

Pengerusi Gabungan Mahasiswa UKM Abdul Kahar bin Hamzah dalam kenyataan lewat malam semalam menyatakan kekesalan terhadap tindakan provokasi pihak pentadbiran universiti.

“Mahasiswa didesak untuk menamatkan majlis dengan provokasi malah ada mahasiswa juga telah diserang oleh pihak keselamatan UKM. Mahasiswa dihalau dengan kasar.

“Kami terpaksa memindahkan majlis ke luar kampus iaitu Stesen Kereta Api UKM . Sesetengah pelajar terpaksa berjalan kaki lebih daripada 30 minit untuk pergi ke KTM,” ujar beliau, sedangkan menurutnya Pusat Aktiviti Pelajar (Pusanika) merupakan tempat mahasiswa menganjurkan kegiatan.

“Mahasiswa seharusnya mempunyai hak untuk mengamalkan demokrasi, dalam pilihanraya kampus dan menyatakan pendapat mengenai isu semasa.” – Roketkini.com