Berita

Harga minyak Malaysia meningkat, ketika pasaran dunia turun

IPOH, 2 OKT: Tidak ada sebab untuk kerajaan menaikkan harga petrol ketika harga minyak mentah dunia di paras terendah dalam tempoh hampir tiga tahun, kata Ketua Biro Pembangunan Politik dan Ekonomi DAP Perak Chong Zhemin.

Menurut Chong, pasaran dunia termasuk di India mencatatkan penurunan harga petrol sebanyak 65 paise (RM 4 sen), manakala Britain sebanyak 5 pence (RM 27 sen).

“Ketika harga minyak antarabangsa turun ke paras terendah dalam tempoh tiga tahun, keputusan BN menaikkan harga petrol ketika rakyat mengalami kos sara hidup yang meningkat bukan sahaja satu pengkhianatan, tetapi juga menambah beban kepada rakyat.

“Sama sekali tidak ada sebab bagi pentadbiran Najib untuk menaikkan harga petrol apabila negara-negara di seluruh dunia mengurangkan harga petrol,” kata Chong dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu kata Chong, ada kemungkinan besar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan dikenakan ke atas petrol.

Ini berdasarkan kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan bahawa kerajaan masih belum memuktamadkan sama ada item tersebut dikecualikan daripada cukai GST.

Kata Chong sekiranya cukai GST enam peratus dikenakan selepas penguatkuasaannya pada 1 April 2015, harga petrol mencecah RM2.44, mencatat kenaikan harga 34 sen.

Akhbar The Wall Street Journal (WSJ) pada 15 September lalu melaporkan, pasaran niaga hadapan minyak Amerika Syarikat mendekati harga terendah buat kali kedua dalam tempoh 16 bulan.

Dalam laporan tersebut WSJ menyatakan, harga per-tong bagi Oktober 2014 adalah USD 92,92 (RM302.42), turun 13 peratus berbanding paras tertinggi tahun ini pada Jun 2014.

Justeru itu kata Chong, langkah kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel bertentangan manifesto pilihanraya umum ke-13 Barisan Nasional untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) semalam mengumumkan kenaikan bahan api petrol RON95 sebanyak 20 sen dari RM2.10 kepada RM2.30, manakala diesel dari RM2.00 kepada RM2.20. – Roketkini.com