Berita

Lima tahun jadi Menteri Pendidikan, Muhyiddin terbukti gagal

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pendidikan wajib menjelaskan kegagalannya meningkatkan pencapaian universiti-universiti tempatan di peringkat antarabangsa, walaupun selepas lima tahun memegang jawatan itu.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mendesak Muhyiddin memberi kenyataan kementerian (ministerial statement) di Parlimen minggu hadapan.

Kit Siang merujuk laporan terbaru Times Higher Education (THE) yang sekali lagi menunjukkan kegagalan universiti di Malaysia untuk masuk ke dalam senarai 200 universiti terbaik dunia.

“Sudah lima tahun Muhyiddin menjadi Menteri Pendidikan. Mengapa semua usaha selama lima tahun ini gagal memulihkan reputasi dan kecemerlangan Malaysia di peringkat antarabangsa, seperi era 50-an dan 60-an.

“Sehingga lima tahun berturut-turut, tiada satu pun universiti kita masuk ke dalam Kedudukan 200 Universiti THE.

“Justeru beliau perlu membuat satu kenyataan kementerian ketika Parlimen bersidang Selasa depan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketika universiti tempatan gagal mendapat tempat, kedudukan dua universiti Singapura; National University of Singapore dan Nanyang Technological Universiti terus berjaya meningkatkan kedudukan, masing-masing daripada tangga 34 dan 174 kepada 25 dan 61.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Gelang Patah itu juga membangkitkan kembali cabaran yang dikemukakan Datuk Seri Najib Razak ketika sambutan ulang tahun ke-100 Universiti Malaya pada 2005, untuk meningkatkan kedudukannya daripada 89 (2004) kepada dua puluh teratas menjelang tahun 2020.

“Jadi Muhyiddin perlu jelaskan bagaimana untuk mencapai cabaran Najib dalam lima tahun akan datang, ketika tiada satu pun universiti kita yang mampu masuk ke senarai 200 terbaik,” katanya lagi.

Jawapan Muhyiddin, katanya lagi, amat mendesak memandangkan universiti di negara juga semakin ketinggalan dengan negara serantau dalam banyak senarai, antaranya 100 Universiti bawah 50 tahu terbaik THE dan 100 Universiti Asia terbaik THE. – Roketkini.com