Rencana

Harapan anak muda menjelang Belanjawan 2015 (Bahagian I)

Seluruh Malaysia sedang ‘berpesta’ ekoran pengumuman kerajaan untuk merasionalisasikan subsidi RON95 dan diesel. Sememangnya saya ingin mengucapkan jutaan penghargaan kepada rejim Barisan Nasional kerana memudahkan saya untuk menyiapkan artikel ini. Ini adalah buah tangan pertama rejim kepada seluruh rakyat menjelang Belanjawan 2015 yang dijadualkan akan dibentangkan pada 10 Oktober 2014.

Zaman Pak Lah menjadi PM merangkap menteri kewangan dulu, rakyat didodoikan dengan janji penambahbaikan sistem pengangkutan awam apabila beliau mengumumkan kenaikan harga minyak sebanyak 78 sen seliter. Namun, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) pada 2011 mendedahkan Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) mencatat kerugian terkumpul sehingga 31 Disember 2010 berjumlah RM293.82 juta.

Kini, Najib Razak pula cuba mendodoikan kita dengan kemungkinan kenaikan BR1M bagi mewajarkan keputusan menaikkan harga minyak. Seperti biasa, rakyat Malaysia akan terus mengangguk bersetuju menjadi mangsa pembodohan total rejim pemerintah. Harus juga diingat bahawa Belanjawan kali ini adalah merupakan belanjawan terakhir sebelum rejim percukaian GST akan bermula.

Kebetulan tarikh pembentangan Belanjawan kali ini sama dengan hari kelahiran saya. Seperti biasa, manusia akan mempunyai sedikit impian setiap kali hari kelahiran menjelang. Begitulah juga saya. Cuma sedikit beda tahun ini, birthday wish saya adalah mengenai harapan dan impian anak muda menjelang Belanjawan 2015.

Kenaikan mendadak kos sara hidup

Suku kedua tahun 2014 telah menyaksikan peningkatan KDNK Negara kepada 6.4% dan ini menunjukkan seolah-olah ekonomi kita berada di landasan kukuh. Tetapi berapa ramai antara kita yang dapat merasai kesan positif pengukuhan ekonomi ini?

Keadaan kos sara hidup yang tinggi dan dengan pengumuman kenaikan harga minyak ini akan terus mendatangkan musibah kepada kos sara hidup rakyat. Tidak dapat disangkal, kenaikan harga minyak ini akan menyebabkan berlakunya kesan rantaian yang akan menyumbang kepada tenatnya kocek rakyat setiap bulan.

Maka, seharusnya kerajaan menambahbaik sistem pemantauan harga barang terutama barang keperluan bagi mengelakkan manipulasi harga ekoran daripada kenaikan harga minyak. Pemantauan ini perlulah dilakukan pada setiap masa dan bukannya tertakluk menjelang perayaan sahaja. Selain itu, penetapan harga siling barangan juga perlulah munasabah bagi memberikan peluang pengguna menikmati kuasa beli mereka.

Kerajaan Persekutuan juga perlu menilai aspek monopoli industri yang berlaku dalam negara kita, terutamanya dalam pemberian AP barang makanan. Monopoli industri ini menyebabkan caj atau harga dinaikkan sesuka hati sehingga menindas pengguna ekoran tiada saingan daripada syarikat alternatif.

Jobstreet dalam satu kajiannya telah mendedahkan bahawa siswazah yang baru mendapat pekerjaan dengan gaji bulanan sebanyak RM 2,500 akan bergelut untuk menangani kos sara hidup yang meningkat. Ramai antara anak muda menghabiskan hampir 60% pendapatan mereka untuk tujuan pembayaran pinjaman kereta, PTPTN dan kos minyak dan tol.

Ini belum lagi termasuk sewa rumah, perbelanjaan makan minum, telekomunikasi dan lain-lain. Akibatnya, kuasa beli yang ada semakin mengecil. Dalam menangani keadaan kos sara hidup yang tinggi dan kuasa membeli yang mengecil, adalah sangat baik sekiranya pihak kerajaan memikirkan semula kesesuaian kadar gaji minimum yang telah ditetapkan pada kadar RM900.

Peluang pekerjaan dan perniagaan

Kemasukan pekerja-pekerja asing ke negara ini juga perlu sentiasa diperhalusi agar tidak menjejaskan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Satu mekanisme kadar caj kepada pekerja asing perlu diperkenalkan agar graduan-graduan muda dan anak muda tempatan yang lain mendapat ruang pekerjaan dalam industri-industri tempatan, termasuklah di restoran makanan segera dan stesen minyak.

Selain itu, ramai anak muda sekarang ini memilih untuk menjalankan kerja sampingan seperti perniagaan online dan juga penjaja makanan kecil-kecilan untuk menambahkan pendapatan mereka. Belanjawan 2015 perlu memperkasakan insentif usahawan mikro ini sebagai sokongan terhadap usaha mereka itu. Seharusnya, agensi-agensi berkaitan keusahawanan ini disatukan semula seperti di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan suatu ketika dahulu.

Pengupayaan skim kredit mikro yang menyediakan pinjaman mudah sehingga RM10,000 tanpa penjamin melalui penubuhan satu institusi atau agensi kewangan yang memfokuskan kepada segmentasi pinjaman mikro juga boleh mempermudahkan anak-anak muda untuk menjalankan perniagaan berskala kecil.

Insentif pendapatan kepada suri rumah sepenuh masa

Bagi anak-anak muda yang baru berkahwin, dengan keadaan kos sara hidup yang meningkat, maka, tidak dapat tidak seorang isteri itu terpaksa bekerja untuk membantu suami meningkatkan pendapatan keluarga. Dari satu segi ia bagus, namun ia juga memberikan kesan kepada aspek pembangunan institusi keluarga.

Belanjawan kali ini perlu melihat kepada perspektif untuk menjadikan suri rumah sepenuh masa sebagai satu bentuk kerjaya professional pilihan wanita muda yang sudah berkahwin. Kerajaan patut berusaha ke arah menyediakan dana untuk membolehkan insentif dan elaun diberikan kepada wanita-wanita yang memilih suri rumah sebagai kerjaya pilihan mereka. Menjadi seorang suri rumah ini sebenarnya adalah tugas yang sangat mulia dan pastinya ia bukanlah mudah.

Malahan, tanggungjawab untuk membesarkan dan memberikan perhatian kepada anak-anak dan suami adalah merupakan satu pengorbanan setiap wanita kepada pembangunan modal insan, keluarga dan negara. Maka, sudah pastilah ia harus menerima pengiktirafan dan insentif-insentif bagi membolehkan kaum wanita negara kita merasa bangga untuk memilih menjadi suri rumah sepenuh masa.

Insentif-insentif lain seperti kupon barang keperluan setiap bulan untuk kumpulan isi rumah berpendapatan rendah, kupon susu bayi dan kanak-kanak serta kupon makanan berkhasiat untuk ibu mengandung boleh diperkenalkan bagi meringankan beban anak muda yang baru meniti alam perkahwinan dan berkeluarga. Malah, pengenalan sistem insentif begini akan turut dapat memastikan setiap keluarga dan anak-anak dapat menikmati makanan yang berkualiti dan bekhasiat tanpa ada diskriminasi kaya atau miskin.

Perumahan

Rumah merupakan satu keperluan yang paling asas dalam ketamadunan manusia. Namun begitu, industri perumahan Malaysia sering terperangkap dalam perang spekulasi harga sehingga menyaksikan peningkatan harga rumah. Berdasarkan Knight Frank Global House Price Index, Malaysia berada di tangga ke-11 dunia dan tangga pertama di Asia dalam kenaikan harga rumah untuk tempoh 12 bulan. Jauh meninggalkan gergasi ekonomi Asia seperti China, Hong Kong, Taiwan, Korea Selatan dan Singapura.

Peningkatan harga rumah ini telah mengakibatkan ramai anak muda terperangkap dalam satu kelompok yang digelar sebagai “Middle Income Trap” di mana mereka tidak dibenarkan untuk membeli rumah mampu milik dan kos rendah ekoran daripada pendapatan mereka yang melebihi syarat yang ditetapkan namun dalam masa yang sama juga mereka tidak mampu untuk membeli rumah pada harga pasaran biasa.

Anak muda sangat mengharapkan agar pihak kerajaan mula menjalin kerjasama dengan pemaju-pemaju perumahan untuk membina rumah-rumah mampu milik pada skala yang lebih besar. Contohnya, kerajaan menyediakan tanah dan pemaju pula membina rumah. Kerajaan juga perlu memantau kenaikan harga bahan-bahan pembinaan. Ini akan membantu pemaju menjimatkan kos pembelian tanah dan bahan pembinaan dan boleh membantu menurunkan harga rumah.

Jika kita teruskan dengan dasar yang mensyaratkan pemaju untuk membina rumah mampu milik dan kos rendah, maka kesenjangan harga rumah ini akan menjadi semakin melebar. Kesenjangan ini terjadi apabila pemaju terpaksa mengalihkan kerugian kos pembinaan rumah mampu milik dan kos rendah kepada rumah jenis lain. Akhirnya, kelompok “Middle Income Trap” ini terus tidak mampu untuk memiliki rumah. Dalam dunia pasaran bebas, tidak mungkin ada orang yang ingin berniaga untuk rugi. Dengan adanya jalinan kerjasama Kerajaan-Pemaju, semua pihak akan menikmati keuntungan.

*Penulis adalah Pengarah Pendidikan Politik DAPSY Muar, Johor, dan Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Bentayan, Johor.