Rencana

ANALISA BERITA – Jika ROS masih keliru, hubungi Peguam Negara

Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah akhirnya mengalah. Selepas 21 bulan DAP bergelut dengan permainan jahat ROS untuk cuba menggoyah operasinya, agensi di bawah kelolaan Kementerian Dalam Negeri itu akhirnya tewas dan mengiktiraf bahawa Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP adalah sah dan boleh berfungsi menjalan tugas seperti biasa.

Permainan tarik tali antara ROS dan DAP bermula apabila ia secara tiba-tiba mengeluarkan surat dua hari sebelum penamaan calon Pilihanraya Umum ke-13 tidak mengiktiraf CEC DAP yang telah dilantik dalam kongres Disember 2012.

Kekalutan tersebut menyebabkan hampir sahaja calon-calon pilihanraya DAP bertanding dengan menggunakan watikah daripada PAS dan PKR memandangkan Setiausaha Agung DAP tidak diiktiraf untuk menandatangani watikah parti.

Tiga bulan sesudah PRU-13 selesai, ROS sekali lagi menggertak DAP supaya mengadakan pemilihan semula lantaran tuduhan bahawa wujud manipulasi dalam pemilihan sebelumnya yang mengundang banyak laporan daripada beberapa kerat ahli DAP, yang kini sudah pun meninggalkan parti.

Fitnah manipulasi ini tidak berasas, dengan disandarkan hanya kepada sebuah risalah tulisan watak yang diberi nama Father Augustus Chen.

Risalah terebut beredar di serata tempat di Pulau Pinang, negeri kubu kuat pentadbiran DAP yang juga tuan rumah Kongres ke-16, kongres pemilihan parti yang menyaksikan DAP berjiwa besar mengakui kesilapan teknikal ketika mengumumkan keputusan pemilihannya.

Wartawan yang menulis artikel fitnah bersandarkan risalah itu juga telah mengakui tulisannya bertujuan memburukkan Kit Siang serta mendakwa penulis risalah fitnah itu adalah Penasihat DAP Dr Chen Man Hin. Dr Chen telah pun memberi keterangan di mahkamah menafikan dakwaan tersebut.

Namun nampaknya ROS tidak habis-habis lagi mahu bercakaran dengan DAP, walaupun hal tersebut sudah selesai di mahkamah. Kenyataan ROS baru-baru ini yang kononnya tidak mendapat apa-apa pemberitahuan mahkamah berhubung status CEC DAP nampaknya seolah meminggirkan kuasa dan peranan Pejabat Peguam Negara.

Timbalan Ketua Pengarah ROS Mohd. Norzam Mustapa pada 3 Oktober lalu mendakwa bahawa badan itu belum mendapat apa-apa pemberitahuan mahkamah berhubung status CEC DAP.

ROS wajar merujuk peguamnya untuk mendapatkan maklumat tentang keputusan mahkamah pada 23 September bahawa arahan dikeluarkan ROS pada 6 Disember 2013 kepada Setiausaha Agung DAP bukannya arahan yang mengikat dari segi undang-undang.

Pernyataan penyelesaian antara ROS dan DAP menggariskan tiga keutamaan, yang pertama adalah berkaitan permintaan bagi dokumen di bawah Seksyen 14 Akta Pertubuhan 1966.

DAP telah mematuhi dan akan terus membantu ROS dalam sebarang kesangsian berkaitan hal ehwal DAP.

Kedua, berkaitan kenyataan dibuat ROS dalam surat tersebut yang menyatakan bahawa ROS belum mengiktiraf pemilihan semula CEC DAP pada 29 September 2013.

Ketiga, berkaitan nasihat kepada Lim Guan Eng bahawa CEC baru yang ‘belum disahkan’ dan tidak boleh membuat keputusan bagi pihak DAP sehingga notis selanjutnya daripada ROS.

ROS mengambil kedudukan bahawa pernyataan tersebut tidak berkenaan kepada apa-apa keputusan dalam undang-undang. Oleh itu, arahan ROS tidak mengikat dari segi undang-undang dan kekal semata-mata nasihat kepada DAP.

Dan akhir sekali ROS mengakui bahawa CEC DAP yang dipilih pada 29 September 2013 boleh menjalankan segala kuasa, fungsi dan tugas dalam pentadbiran hal ehwal harian DAP mengikut Perlembagaan DAP.

Hakim Datuk Zaleha Zahari pada 23 September lalu menggugurkan saman DAP terhadap ROS tanpa arahan kos, setelah DAP menarik balik samannya bagi mendapatkan semakan kehakiman terhadap arahan ROS yang tidak mengiktiraf keputusan Kongres DAP pada 2012.

Justeru itu kata Gobind, dalam apa jua keadaan, beban untuk menunjukkan kesahihan tidak terletak kepada DAP, tetapi kepada ROS untuk membuktikan sebaliknya.

“ROS diwakili Peguam Kanan Persekutuan dari Pejabat Peguam Negara. Pendirian yang diambil oleh ROS meletakkan Peguam Negara dalam keadaan yang sangat buruk.

“Apakah ROS kini mengatakan bahawa Pejabat Peguam Negara tidak mempunyai kuasa untuk membuat ketetapan bagi pihak mereka?” soal Gobind. – Roketkini.com