Rencana

Hak asasi dan harga diri untuk semua; Pekerjaan yang baik untuk semua

(Rencana ini ditulis sempena World Day for Decent Work – 7 Oktober)

Mengapa pekerjaan yang baik dituntut?

Pada Jun 1999, bekas Setiausaha Agung Organisasi Buruh Antarabangsa (International Labour Organisation, ILO) memperkenalkan konsep baru yang progresif, yang bukan sahaja merumuskan cabaran dan aspirasi untuk golongan pekerja, namun turut mencetuskan imaginasi dan perpaduan antara satu sama lain seluruh dunia – Pekerjaan yang baik.

Pekerjaan yang baik, seperti yang dijelaskan ILO, adalah pekerjaan yang menghasilkan pendapatan yang saksama, dengan keselamatan di tempat kerja yang terjamin, dan perlindungan sosial kepada keluarga. Ia juga pekerjaan yang membuka peluang kepada pembangunan diri, integrasi sosial serta pergerakan sosial yang menjamin kebebasan pekerja untuk berekspresi dan berpersatuan. Akhir sekali, pekerjaan yang baik menggabungkan nilai demokrasi sosial, iaitu kesaksamaan peluang dan layanan terhadap lelaki dan wanita.

Apakah Hari Pekerjaan yang Baik Sedunia?

Konsep ini mendapat tarikan dan lonjakan politik di kalangan golongan progresif, parti politik kiri-tengah dan kiri, serta aktivis, kesatuan dan pertubuhan hak pekerja, sebagai reaksi terhadap keadaan sosial ketika itu, dan berterusan dengan pesat dalam tahun-tahun selepas itu. Kemuncaknya, International Trade Union Confederation (ITUC) pada tahun 2008 mengumumkan bahawa 7 Oktober sebagai Hari Pekerjaan yang Baik Sedunia, dan seluruh dunia menyambutnya sejak itu.

Pada hari tersebut, kesatuan sekerja dan kumpulan hak pekerja seluruh dunia menggerakkan ahlinya untuk meningkatkan kesedaran tentang hak-hak pekerja. Kajian menunjukkan hanya tujuh peratus pekerja seluruh dunia dinaungi kesatuan, atau sebahagian daripada badan yang tersusun untuk mewakili dan melindungi mereka di saat perlu. Hal ini membangkitkan betapa pentingnya peranan organisasi sebegini dalam masyarakat, dan keperluan mendesak terhadapnya di seluruh dunia. Pada tahun ini, tema Hari Pekerjaan yang Baik adalah ‘ekonomi hijau. Ia berdasarkan hakikat bahawa kita, sama ada di peringkat tempatan, kebangsaan, wilayah atau antarabangsa, beroperasi di bawah model ekonomi yang memusnahkan pekerjaan dan bumi. Golongan pekerja memiliki kebolehan, hak dan tanggungjawab untuk mengubahnya.

Cabaran mendatang dan semasa serta langkah ke hadapan

Di zaman ini, terutama dalam konteks Malaysia, orang ramai merasakan mereka memiliki suara atau pengaruh yang kecil sahaja ke atas kerajaan, ekonomi dan korporat; tiga perkara yang malangnya berkembang secara keterlaluan dan tidak saksama. Rasa terancam ekoran pengangguran dan jurang pendapatan yang melebar terus melanda masyarakat di semua peringkat yang akhirnya menyumbang kepada ketidakstabilan ekonomi dan sosial. “Rakyat tidak lagi percaya yang kerajaan bertindak untuk melindungi golongan pekerja. Membina kuasa pekerja amat mustahak untuk mengubah sistem yang memijak pekerja,” kata Setiausaha Agung ITUC Sharan Burrow.

Saya ingin menyatakan rasa perpaduan sepenuh hati bersama MAS dan pekerja-pekerja mereka berhubung cabaran yang bakal dihadapi pasca-krisis. Dua tragedi – MH370 dan MH17 – menjadi faktor penyumbang besar terhadap penstrukturan raksasa yang membawa kepada pemecatan sehingga 6000 pekerja. Namun, jangan dilupakan tentang empat pekerja MAS yang juga ahli Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) yang dipecat, termasuk Presidennya yang mengeluarkan kenyataan media Nufam menuntut, antara lain, agar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) meletakkan jawatan. DAP mengecam tindakan ‘memecahkan kesatuan’ seperti ini, dan kerajaan perlu memberi penjelasan kerana MAS adalah syarikat berkaitan kerajaan.

Dalam kes Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pula, kita melihat layanan yang baik sedikit walaupun tetap menakutkan – sama dengan pendekatan semasa kerajaan yang menyekat penentangan, apatah lagi dengan sejumlah dakwaan hasutan yang berlaku kini.

Dalam kes ‘memecahkan kesatuan’ ini yang sama mengganggu, 56 ahli kesatuan di bawah Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (Malaysian Trades Union Congress, MTUC) menerima tindakan disiplin kerana menyertai satu piket pada 9 Mei 2014. 40 daripada mereka dipecat, manakala 16 lagi digantung kerana berdemonstrasi membantah KTMB. Sumber menyatakan bahawa KTMB memecat lapan lagi ahli kesatuan selepas Presiden dan Timbalan Presiden Kesatuan Sekerja Keretapi Tanah Melayu (Railwaymen’s Union of Malaya, RUM) menerima nasib sama 29 Ogos lalu.

Pemecatan ini adalah tindak balas terhadap piket yang dianjurkan pekerja KTMB pada 9 Mei lalu, bagi menuntut Presiden KTMB Datuk Elias Kadir untuk meletak jawatan berikutan prestasi buruk syarikat itu di bawah beliau. Seksyen 40 Akta Perhubungan Perindustrian 1967 jelas menyatakan kesatuan sekerja berhak untuk berpiket. Pihak pengurusan tidak boleh memecat ahli kesatuan kerananya, memandangkan ia adalah kegiatan yang sah dan menjadi hak mereka. DAP mengecam pemecatan tidak sah terhadap pekerja ini, yang hanya menggunakan hak mereka seperti termaktub dalam undang-undang. Saya tekankan, KTMB adalah syarikat berkaitan kerajaan, maka kerajaan perlu memberi penjelasan.

Tindakan ‘memecahkan kesatuan’ perlu segera dihentikan, ia bukan sahaja haram malah bertentangan dengan perlembagaan.

Gambaran di Asia Tenggara

Krisis kewangan Asia Tenggara yang kian membuak kesan daripada quantitative easing tapering pada tahun 2012, gelembung-gelembung kewangan yang hampir pecah, dan di peringkat negara dengan menjulangnya kadar faedah, kos petrol dan barangan lain yang sentiasa naik dan tidak lama lagi, permulaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST); memaksa rakyat Malaysia untuk memikirkan semula kedudukan mereka dalam era globalisasi, serta kerjaya dan masa depan mereka. Inilah waktu terpenting untuk rakyat Malaysia memiliki pekerjaan yang baik, bagi memastikan negara terus makmur.

Kita sedang melihat sejumlah besar rakyat, dalam keadaan ekonomi Asia yang kelam kini, beralih arah untuk berhijrah; bukan kerana pilihan, tetapi keperluan. Sebaliknya, di atas sebab sama, iaitu kegagalan kerajaan melakukan reformasi dalam tenaga kerja tempatan, peranan yang dimainkan pekerja asing semakin besar dalam ekonomi negara.

Atas nama hak asasi dan perpaduan dengan seluruh pendatang dari negara serantau, masyarakat Asean perlu menghasilkan perjanjian pelbagai hala yang berkesan dan lebih ketat untuk menyekat pencabulan terhadap pendatang atas nama daya saing perniagaan.

Kami percaya bahawa pendekatan berasaskan hak ke arah penghijrahan buruh adalah kunci untuk mempromosikan pekerjaan yang baik kepada pekerja asing. Kerajaan perlu memeterai dan melaksanakan lapan teras dalam Konvensyen Buruh ILO, serta memantau dan menguatkuasakannya. Tambahan pula, kita mendesak kepada pemeteraian dan pelaksanaan piawai antarabangsa yang relevan kepada pekerja asing:

Konvensyen 97 tentang penghijrahan untuk pekerjaan (disemak)
Konvensyen 143 tentang Pekerja Asing (Pindaan Tambahan)
Konvensyen 181 tentang Agensi Pekerjaan Swasta
Konvensyen Antarabangsa 1990 tentang perlindungan hak pekerja asing dan keluarga
Protokol membanteras Pemerdagangan Manusia
Perjanjian serantau seperti Deklarasi Asean tentang perlindungan dan promosi hak pekerja asing

Usaha serantau dalam Asean untuk mendesak pemeteraian dikalangan anggota perlu menjadi keutamaan menjelang integrasi ekonomi serantau Asean pada tahun 2015.

Seruan untuk bertindak

Kita semua perlu bersatu-padu pada hari penuh makna ini, untuk menggesa kerajaan menghentikan pendekatan kuno dan zalim mereka dalam menindas dan menekan pihak yang hanya menggunakan hak yang dijamin perlembagaan untuk bersuara dan berpersatuan; dan semua pekerja untuk berganding bahu bagi mengikat perjanjian antarabangsa dengan semua yang terlibat, ke arah ‘ekonomi Hijau’ yang lebih selamat, baik, saksama dan adil, di negara sendiri mahu pun seluruh dunia.

Pada Hari Pekerjaan yang Baik Sedunia tahun ini, DAP selaku Demokrat Sosial yang menjuarai Keadilan Sosial dan Ekonomi untuk semua menggesa kesatuan sekerja dan golongan progresif untuk menggerakkan sokongan terhadap hak pekerja. Kami menyeru semua, tidak mengira lelaki dan wanita di seluruh Asean, sedang bekerja atau mencari kerja, untuk berdiri bersama-sama satu sama lain dan melaungkan “Hak Asasi dan Harga Diri untuk Semua; Pekerjaan yang Baik untuk Semua.” – Roketkini.com

*Howard Lee adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Pinji dan Pengarah Dasar DAP Perak