Rencana

Harapan anak muda menjelang Belanjawan 2015 (Bahagian 2)

sambungan daripada bahagian 1.

Pendidikan

Dalam aspek pendidikan dan penyelidikan, kerajaan perlu segera berhenti mencampuri urusan universiti. Pelajar dan pensyarah perlu bebas untuk berfikir, melahirkan pandangan dan membuat penyelidikan. Kita tidak boleh terus terperangkap dengan agenda membuat donut gergasi dan sebagainya.

Perubahan drastik pendidikan tinggi perlu dilakukan jika kita benar-benar mempunyai hasrat untuk menyediakan tenaga mahir menjelang 2020. Dana khas perlu diperuntukkan untuk memperkasakan penyelidikan dan menaikkan imej pendidikan dan penyelidikan universiti-universiti kita. Kerajaan Persekutuan juga perlu menambahbaik skim gaji bagi pensyarah dan penyelidik di universiti-universiti sejajar dengan tahap KPI yang tinggi sebagai galakan untuk mereka merintis semangat pelajar bagi melakukan penyelidikan yang bernas.

Kerajaan Pemerintah juga perlu memberikan tumpuan khusus kepada kegiatan penterjemahan buku-buku rujukan dan ilmiah kepada bahasa kebangsaan. Ini akan menambahkan sumber pustaka negara dan merancakkan percambahan intelek anak Malaysia. Secara psikologinya, adalah mudah untuk sesuatu ilmu itu dipelajari jika ia menggunakan bahasa ibunda berbanding bahasa lain.

Jika kita lihat kepada Jepun dan Taiwan, kegiatan penterjemahan buku-buku, jurnal-jurnal dan bahan ilmiah ke dalam bahasa mereka telah memberikan dampak positif kepada perkembangan intelek rakyat mereka dan akhirnya membuahkan kemajuan dan kejayaan melahirkan tenaga mahir yang ramai.

Aspek teknikal dan vokasional juga perlu terus diberdayakan. Institusi teknikal dan vokasional perlu lebih banyak diwujudkan bagi membantu kelompok anak muda lepasan SPM yang gagal menempatkan diri ke universiti. Peruntukan dan tenaga mengajar yang terlatih dan pakar dalam bidang masing-masing perlu ditempatkan di institut teknikal dan vokasional ini bagi tujuan melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dalam dua aspek ini.

Di peringkat sekolah juga, kementerian perlu segera berhenti menjadikan pelajar-pelajar kita umpama tikus makmal – diuji dengan eksperimen dasar-dasar separuh jalan yang akhirnya akan menyebabkan mereka menghadapi tekanan mental dan emosi. Setiap rancangan dasar pendidikan negara perlulah diteliti sebelum ia mula digunapakai dalam sistem persekolahan negara. Beban tugas dan skim gaji guru-guru juga memerlukan perhatian bagi memastikan setiap guru sentiasa berada pada tahap optimum dalam mengajar murid-murid.

Sahsiah dan moral

Kerajaan perlu menanamkan kefahaman dan kesedaran utuh dalam diri setiap pelajar berkaitan aspek moral dan akhlak. Kedua-dua aspek pendidikan ini bukanlah satu subjek hafalan semata-mata sebaliknya ia harus difahami sepenuhnya. Kegagalan dan kealpaan kita dalam menjaga sahsiah muda mudi mungkin akan menyebabkan kita melahirkan dan mempunyai sumber modal insan yang terpesong sahsiahnya.

Tanpa ingin menafikan fitrah anak muda yang gemarkan hiburan, kerajaan juga tidak harus berlepas tangan dengan membiarkan anak muda terperangkap dalam hiburan yang membawa kepada kebinasaan diri mereka. Keseriusan kerajaan dalam memerangi dadah dan kebejatan sahsiah adalah sangat ditagih dengan membina kesedaran dalam diri anak muda berhubung perkara ini.

Kerajaan juga boleh mencari satu mekanisme atau mempelopori kesedaran masyarakat agar memudahkan perkahwinan. Ia adalah amat perlu bagi membendung gejala zina, hamil di luar nikah dan pembuangan bayi. Insentif perkahwinan pertama seperti yang sedia ada perlu diperluaskan bagi mengelakkan anak muda terjerumus ke kancah ini.

Sukan

Ramai anak muda bergiat dalam kegiatan sukan namun tidak ramai yang memilih untuk menjadikan sukan sebagai kerjaya professional. Kerajaan perlu memainkan peranan untuk mempromosikan sukan sebagai kerjaya professional. Lebih banyak yayasan dan akademi-akademi sukan perlu ditubuhkan untuk bukan sahaja melatih pemain tetapi juga jurulatih kita.

Jalinan kerjasama dengan akademi-akademi sukan yang berjaya dari seluruh dunia juga perlu dirintis supaya Malaysia menjadi destinasi pilihan kewujudan akademi mereka di Asia agar perintis-perintis sukan negara dapat dikenalpasti sejak di awal usia lagi. Ramai ahli sukan dunia yang memilih untuk menjadikan sukan sebagai kerjaya professional bermula seawal umur 5 tahun lagi. Di saat anak-anak kecil kita masih bermain poco-poco dan zumba di Tadika KEMAS, di dunia luar telah muncul bakal-bakal jutawan sukan di akademi-akademi sukan mereka.

Kebudayaan dan seni-kreatif

Aspek kebudayaan warisan negara juga perlu diperkukuhkan. Warisan seperti tulisan jawi dan lain-lain budaya merupakan khazanah paling berharga dan unik untuk negara kita. Usaha perlu dipertingkatkan dan diperluaskan ke peringkat yang lebih tinggi iaitu di peringkat universiti dan juga industri penulisan. Dalam masa yang sama juga, bakat-bakat anak muda dalam industri kreatif moden seperti seni grafiti tidak patut dibantutkan dengan diklasifikasikan sebagai satu tindakan vandalisme.

Belanjawan 2015 diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang untuk anak muda bergiat dalam industri kreatif, kesenian dan kebudayaan. Anak-anak muda di luar bandar dan pinggir bandar perlulah diberikan lebih banyak ruang untuk terlibat dalam kegiatan multimedia dan seni kreatif untuk meneroka minat dan juga memberikan peluang kepada anak muda luar dan pinggir bandar untuk turut serta dalam industri ini.

Tindakan progresif untuk mempromosikan sukan dan kesenian sebagai satu kerjaya profesional adalah sangat penting bagi memastikan bakat-bakat istimewa negara tidak terkubur dengan mentaliti “kejayaan itu diukur dengan berjaya masuk universiti” yang kian membarah dalam masyarakat kita. Negara sangat kerugian jika tidak terus menggilap bakat-bakat sukan dan industri kreatif ini.

Malaysia sangat handal membina bangunan baru namun begitu kita kita kurang menitikberatkan soal pemuliharaan dan penjagaan. Banyak tempat-tempat tumpuan pelancong, bangunan-bangunan lama, pantai-pantai dan sungai-sungai terus terbiar. Dengan pemuliharaan dan penjagaan yang baik, akan memberikan kita lebih banyak kawasan tarikan pelancongan yang boleh memberikan dampak ekonomi domestik di kawasan terbabit selain menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda.

Pertanian

Sektor pertanian juga memainkan peranan yang penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus mapan. Dengan mengurangkan kebergantungan import bahan makanan, dampak terhadap harga barang makanan negara juga akan berkurangan dan seterusnya dapat membantu mengekang kos sara hidup yang tinggi ketika ini.

Kerajaan Persekutuan dicadangkan untuk memperkukuhkan agensi-agensi pertanian dan perladangan serta pemasaran hasil tani seperti FAMA dalam industri pertanian dan asas tani agar penyelarasan harga dapat diadakan selain daripada menghadapi cabaran manipulasi harga. Dengan peningkatan hasil pendapatan dalam industri pertanian ini akan dapat menarik minat anak muda untuk bekerja di sektor pertanian dan perladangan.

Ketidaktentuan harga pasaran komoditi seperti getah dan kelapa sawit telah menjarakkan golongan muda dalam aspek ini. Bidang pertanian juga dianggap sebagai satu bidang yang tidak memberikan pulangan yang besar. Kementerian Pertanian dan Asas Tani perlu memainkan peranan yang progresif bagi menarik minat golongan muda untuk kembali berbudi kepada tanah.

Maka, insentif dan subsidi hasil pertanian juga perlu diwujudkan dengan lebih banyak terutamanya untuk graduan yang terus memilih bidang pertanian selepas tamat belajar di samping mengekalkan kemudahan sedia ada sekarang termasuklah pinjaman mudah Agro Bank.

Akhir sekali, aspek kesenjangan jurang pendapatan negara yang kian melebar. Kerajaan Persekutuan perlu memberikan tumpuan penuh terhadap aspek ini. Kesenjangan pendapatan ini akhirnya akan memburukkan gejala rasuah. Satu formula berkesan perlu diperkenalkan agar masalah kesenjangan pendapatan ini dapat diselesaikan dengan tuntas.

Kerajaan Persekutuan tidak boleh terus berada dalam keadaan penafian. Selagi kita tidak serius memerangi rasuah, negara kita tidak akan dapat bergerak menjadi sebuah negara maju. Adalah sangat dibimbangi dengan keadaan kesenjangan pendapatan yang kian melebar ini, anak muda juga akan turut terhimpit untuk melakukan rasuah ekoran daripada gaji yang diterima tidak dapat menampung perbelanjaan hidup seharian.
*Penulis adalah Pengarah Pendidikan Politik DAPSY Muar, Johor, dan Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Bentayan, Johor.