Rencana

Oktoberfest dan politik ‘aku-lebih-mulia’ Malaysia

Laporan berita akhir-akhir ini mengenai beberapa pihak yang sedikit kalut mengenai Oktoberfest mengingatkan saya apa yang diperkatakan oleh Tunku Abdul Rahman pada tahun 1975. Katanya pada zaman dahulu orang tidak peduli sangat tentang apa yang dilakukan oleh orang lain, asalkan mereka sendiri bebas melakukan apa yang mereka sendiri gemari. Hari ini tidak ada yang boleh bersin tanpa ditegur oleh orang lain, apatah lagi bergembira. Itulah kesan politik terhadap masyarakat kita. Begitulah katanya.

Hampir 40 tahun telah berlalu dan keadaan politik Malaysia memburuk. Ramai ahli politik hari ini telah menjadi polis moral, sibuk ke sana ke mari memberitahu orang ramai apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan; sebahagiannya ada yang benar-benar berpendirian manakala selainnya hanyalah hipokrit.

‘Sensitiviti’ nampaknya telah menjadi perkataan yang begitu sarat nilai. Tetapi Oktoberfest tidak bermaksud menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia yang taat beragama. Ia cumalah kegiatan peribadi yang disertai beberapa orang sahaja. Barangkali minum arak adalah satu dosa bagi sebahagian warga Malaysia, tetapi siapalah kita untuk menduduki tingkat moral yang lebih tinggi untuk memaksa orang lain bersetuju dengan nilai-nilai yang kita anuti?

Adakah dengan minum arak maka seseorang menjadi warga yang lebih rendah tarafnya? Adakah dengan meraikan Oktoberfest seseorang Ahli Yang Berhormat tidak dapat berkhidmat dengan baik sebagai seorang wakil rakyat?

Indonesia baru sahaja melantik Jokowi sebagai presiden yang baru. Beliau menggemari muzik bernada keras ‘heavy metal’ yang dipandang seolah-olah memuja syaitan bagi segolongan warga Malaysia. Beliau juga peminat Lamb of God, sebuah kumpulan yang diharamkan daripada membuat persembahan di Malaysia pada Semptember 2013 lantaran anasir-anasir yang tidak Islamik.

Pun begitu, Jokowi telah memperlihatkan kepada warga Indonesia bahawa negara mereka boleh ditadbir dengan cara yang tidak korup serta cekap, dan beliau mampu memimpin rakyat sepanjang tempoh sebagai gabenor Jakarta. Beliau kini memikul amanah yang lebih besar sebagai presiden Indonesia.

 Dunia tidak akan menunggu sambil kita berdebat tentang kesesuaian meraikan Oktoberfest. Untuk ahli politik yang sibuk membantah Oktoberfest, barangkali mereka patut meluangkan lebih banyak masa untuk memikirkan bagaimana untuk menangani peningkatan kos sara hidup, bagaimana memperbaiki mutu pendidikan, bagaimana menghentikan aliran keluar tenaga dan bakat negara, bagaimana menyediakan perumahan mampu milik, bagaimana memperbaiki keselamatan negara, bagaimana memperbaiki sistem kehakiman, bagaimana mahu memperbetulkan sempadan Sabah yang begitu poros dan bagaimana mahu mendepani wabak Ebola sekiranya ia menjangkau ke perairan negara.

Jika isu nasional tidak boleh memenuhi masa terluang mereka, barangkali mereka boleh membantu Selangor menangani isu air, denggi, banjir kilat, khidmat kerajaan tempatan dan banyak isu lain lagi.

Secara keseluruhannya, kita sudah mempunyai cukup isu yang jauh lebih mendesak untuk ditangani daripada sibuk membantah Oktoberfest atau apa-apa kegiatan peribadi yang dilihat berdosa bagi sesetengah pihak.

Demi negara, sesetengah ahli politik di Malaysia barangkali perlu menghentikan politik ‘aku-lebih-mulia’ dan memberi lebih tumpuan kepada pekerjaan utama untuk merangka dasar, mentadbir dan menepati tuntutan. – Roketkini.com

 

*Yeo Bee Yin adalah Adun Damansara Utama