Rencana

Resolusi DAP Johor

Konvensyen DAP Negeri Johor beberapa hari yang lalu telah membuat ketetapan berikut:

Reformasi Politik

Ini menjadi perkara asas bagi mana-mana agenda dalam ketetapan yang dibuat. Langkah pembaharuan kepada perkara asas demi memastikan objektif keadilan dapat dicapai. Antaranya:

a.       Memansuhkan undang-undang yang menghakis hak asasi dan kebebasan warganegara termasuk Akta Hasutan 1948, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Rahsia rasmi 1972.

b.      Menggubal undang-undang yang dapat menjamin kesejahteraan dan ketenteraman masyarakat serta memperkukuh prinsip demokrasi seperti Akta Kebebasan Maklumat.

c.       Melaksanakan sistem pendaftaran pemilih secara automatik iaitu setiap warganegara yang cukup umur 21 tahun layak mengundi dalam pilihanraya tanpa melalui pendaftaran sebagai pengundi.

d.      Menjalankan persempadanan semua kawasan pilihanraya secara adil berlandaskan prinsip satu orang satu undi dan setiap pengundi mempunyai nilai yang sama setara di samping menjamin keseimbangan dan kesaksamaan antara kawasan Bandar dan luar Bandar.

Reformasi Dewan Negeri

DUN merupakan badan perundangan tertinggi dalam sesebuah negeri. Peranan DUN Johor perlu diperkukuh agar pemisahan kuasa dapat berfungsi dengan sempurna demi kepentingan rakyat. Dari segi sejarah, DUN Johor merupakan DUN tertua di Malaysia iaitu sejak 1895 lagi. Namun, keberkesanannya dipersoalkan oleh banyak pihak. Maka dengan itu kita menyarankan agar:

a.       Pengiktirafan rasmi diberi kepada kedudukan Ketua Pembangkang DUN dengan menyediakan kemudahan-kemudahan yang sewajarnya, bukan hanya bersifat hiasan dan imej semata-mata sebaliknya menjadi satu tugas rasmi dan berfungsi dengan berkesan.

b.      Menyediakan ruang pejabat setiap ADUN termasuk ADUN Pembangkang supaya wakil rakyat dapat membuat persediaan yang rapi dan selesa sebelum mereka menyertai perbahasan dewan. Namun, sekiranya kos penyediaan ini membebankan, maka sekurang-kurangnya oleh menyediakan dua buah pejabat unuk ADUN-ADUN Pembangkang dan Backbencher parti pemerintah.

c.       Mewujudkan laman web rasmi untuk Dewan.

d.      Membekalkan jawapan kepada soalan-soalan Dewan dalam versi digital yang dimuatnaik ke laman web Dewan

e.      Menyediakan perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar atau WIFI dalam bangunan DUN

f.        Menjalankan siaran langsung persidangan DUN menerusi televisyen atau sekurang-kurangnya siaran atas talian melalui laman web rasmi Kerajaan.

g.       Memperuntukkan lebih masa untuk bersidang dan lebih masa soal jawab agar lebih banyak isu dapat dibincangkan di dalam Dewan.

h.      Memanfaatkan peringkat Jawatankuasa dalam proses perbahasan supaya sesuatu rang undang-undang dapat diteliti dan mutu perbahasan dapat dipertingkatkan.

Keadilan Ekonomi

Ini merupakan agenda utama selepas reformasi struktur politik. Agenda keadilan ekonomi akan memastikan kepentingan sosial dapat dilaksanakan. Ketetapan agenda ini adalah seperti berikut;

a.       Pembangunan ekonomi Johor perlu menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk tenaga kerja mahir tempatan dengan gaji yang berdaya saing.

b.      Ketidakseimbangan di antara keperluan dan tawaran rumah sedang berlaku di seluruh negeri. Kerajaan negeri seharusnya memastikan bilangan rumah kos rendah dan sederhana dibina mengikut jadual rancangan. Lokasi strategik tidak semestinya dibina dengan rumah mewah sahaja sebaliknya harus membina rumah kos rendah untuk sewaan sahaja agar dapat menjimatkan masa perjalanan bagi golongan pekerja.

c.       Tenaga kerja golongan wanita perlu dipertingkatkan oleh kerajaan negeri dan persekutuan. Untuk menggalakkan penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan, kerajaan seharusnya mempermudahkan proses mendapatkan lesen penubuhan taska di tempat kerja. Ini akan dapat menggalakan lebih banyak usahawan kecil dan sederhana menyediakan kemudahan tersebut di kilang atau pejabat mereka.

d.      Ekspoitasi buruh asing tidak boleh diterima. Kerajaan negeri dan persekutuan perlu memastikan kebajikan dan hak asasi mereka terjamin dan terpelihara tanpa mengira kewarganegaraan mereka.

Pertanian dan Perikanan

Fokus diberikan kepada pekebun kecil dan nelayan kategori A kerana kumpulan ini masih memainkan peranan penting dalam pembangunan sektor perikanan dan pertanian negeri Johor. Sumbangan mereka tidak boleh diremehkan dalam pembangunan pesat negeri memandangkan kedudukan Johor sebagai negeri pengeluar makanan utama negara.

a.       Mendesak kerajaan negeri terus mengekalkan Taman Pengeluaran Makanan (TKPM) dan menambah keluasan tanah pertanian dengan membuka pakej program dengan keluasan tanah 5 hingga 10 ekar bagi tujuan tersebut.

b.      Mencadangkan agar sistem program TKPM ditambahbaik dengan beberapa pakej tanaman jangka pendek dan panjang, iaitu antara 10–30 tahun, khususnya untuk tanaman sayuran.

c.       Menubuhkan satu Jawatankuasa Pilihan Bipartisan di Dewan Negeri untuk memantau program TKPM dari masa ke semasa, yang disertai oleh wakil jabatan yang berkaitan, agensi kerajaan negeri serta ADUN Kerajaan dan Pembangkang.

d.      Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mesti terlibat dalam membantu sosioekonomi golongan nelayan kelas A, khususnya bagai kawasan yang terjejas teruk akibat pembangunan mega di pesisir pantai barat dan selatan Johor.

e.      Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri dan Jabatan Perikanan negeri mesti terlibat dalam membantu dan memastikan kawasan ternakan ikan terpelihara demi memastikan sumber terus kekal, selamat dan bekalan ikan yang mencukupi.

Reformasi Kerajaan Tempatan

Aspek ini perlu diberi penekanan bagi memastikan urustadbir kerajaan tempatan dapat berjalan secara cekap demi memastikan agenda rakyat dicapai.

a.        Mengembalikan Pilihanraya Kerajaan Tempatan dengan memulangkan undi ketiga kepada rakyat, bagi memastikan pemimpin di peringkat PBT dapat memberi khidmat yang terbaik kepada penduduk setempat.

b.      Struktur bidang kuasa PBT perlu dikaji semula agar isu-isu berkaitan kehidupan harian rakyat ditentukan di peringkat negeri, bukan persekutuan.

c.       Prestasi PBT perlu dipertingkat, khususnya dalam aspek penyelesaian isu-isu harian.

d.      Pengasingan sisa pepejal perlu dilaksana dan dikuatkuasa untuk mengurangkan pengeluaran sisa pepejal kerana ia telah melebihi 10% daripada jumlah pengeluaran sisa pepejal seluruh Malaysia.

Reformasi Pengangkutan Awam

Aspek ini penting bagi menjayakan proses pembangunan ekonomi di negeri Johor.

a.       Melakukan  nyah-pemusatan (disentralisasi) kuasa pengurusan pengangkutan awam negeri dan persekutuan dengan memberdayakan agensi kerajaan negeri dan PBT dalam perancangan pengangkutan awam. Kerajaan negeri seharusnya menawarkan pelan induk pengangkutan awam seluruh negeri manakala unit PBT berperanan mengawal selia pengangkutan awam.

b.      Projek Landasan Berkembar KTM perlu disiapkan secepat mungkin . Perkhidmatan keretapi seharusnya dinaiktaraf sebagai perkhidmatan pilihan utama di antara bandar dalam negeri Johor.

c.       Tol EDL yang dikutip di CIQ tidak munasabah dan membebankan rakyat Malaysia yang berulang-alik antara Johor Bahru dan Singapura. Tol EDL perlu dimansuhkan manakala kerajaan negeri semestinya membina satu sistem pengangkutan awam yang lebih menyeluruh dan cekap.

Pengurusan Air

Sungguhpun negeri Johor mempunyai sumber air yang mencukupi namun tariff airnya adalah yang paling mahal di Malaysia. Justeru itu:

a.       Kerajaan negeri mesti mempertingkatkan usaha memulihara kawasan tadahan air demi memastikan sumber air sentiasa mencukupi, bersih, dan bebas dari pencemaran serta pada masa yang sama dapat mengurangkan kos rawatan air mentah.

b.      Pihak SAJ mesti mempertingkatkan tahap profesionalisme pengurusan air dengan mengurangkan air tidak berhasil (non revenue wataer–NRW) kepada kadar 20% dalam masa terdekat dan 15% menjelang 2020.

c.       SAJ harus memastikan air yang dibekalkan kepada pengguna sentiasa bersih dan selamat digunakan oleh rakyat.

d.      Kerajaan negeri harus menerokai sumber air yang baru supaya kita tidak hanya bergantung kepada pembinaan empangan bagi memastikan sumber bekalan air yang lestari.

Masalah Alam Sekitar

Alam Sekitar tidak harus dilihat hanya sekadar aspek keindahan alam, sebaliknya ia adalah ekosistem ekonomi sejagat. Maka dengan itu, beberapa cadangan telah dibuat:

a.       Membantah semua projek mega yang tidak mengikut peraturan dan undang-undang yang ditetapkan seperti projek tanpa penilaian kesan alam sekitar Forest City.

b.      Membantah pembangunan projek penambakan laut secara besar-besaran, terutamanya yang melibatkan hartanah negeri Johor. Pelan fizikal nasional kedua menunjukkan Johor masih mempunyai sejumlah 300,000 hektar tanah yang boleh dibangunkan tanpa menyentuh kawasan-kawasan alam sekitar yang peka. Justeru itu projek penambakan laut secara besar-besaran adalah tidak diperlukan.

c.       Mengesyorkan pemasangan pengesan asap (smoke detector) yang boleh mengesan jerebu terutamanya di bandar besar dalam negeri Johor.

d.      Membanteras pembakaran terbuka, terutamanya yang melibatkan pembakaran sisa pepejal oleh agensi seperti PPSPPA, PBT dan Pejabat Tanah.

e.      Mengesyorkan agar agensi kerajaan negeri menyediakan prasarana awam yang bersesuaian memandangkan Johor juga tidak terlepas dari menerima perubahan cuaca yang ekstrem seperti hujan lebat.

f.        Banjir kilat berlaku saban tahun di Johor, justeru itu PBT dan agensi kerajaan harus lebih serius dengan merancang pelan kecemasan dalam menangani masalah ini.

g.       Hutan Paya Bakau adalah pelindung alam semulajadi dan kawasan yang masih tinggi kepelbagaian bio, maka dengan itu kerajaan negeri dan persekutuan harus mewartakannya sebagai Hutan Simpan Kekal bersatus Taman Negara yang dilindungi dan dipulihara.

h.      Menggesa agar pendidikan dan kesedaran tentang kepentingan alam sekitar di kalangan rakyat dipertingkatkan.

Keselamatan Awam

Ini merupakan aspek penting yang mampu memberi kesan sosial dan ekonomi di kawasan pembangunan.

a.       Segera menubuhkan IPCMC.

b.      Menggesa kerajaan dan agensi terlibat menumpukan usaha membanteras jenayah awam.

c.       Menggesa kerajaan dan OBT melaksanakan 15 langkah Bandar Selamat seperti pemasangan litar tertutup (CCTV) di lokasi tertentu, penambahan lampu jalan, cermin keselamatan dan pembukaan ruang jalan motorsikal dan pejalan kaki di kawasan sasaran.

d.      Menggesa pihak polis meningkatkan rondaan dan mendirikan pondok polis bergerak.

Pendidikan

a.       Mengkaji semula proses persediaan peperiksaan agar tidak berlaku lagi masalah kebocoran kertas soalan.

b.      Mengikiraf sijil Unified Examintation Certificate (UEC) segera tanpa syarat.

c.       Memastikan semua sekolah mempunyai guru yang mencukupi serta pengerahan guru-guru mengikut kesesuaian bidang masing-masing.

d.      Kemudahan asas perlu dinaiktaraf dari masa ke semasa untuk semua jenis sekolah dengan memastikan peruntukan tahunan diberi bagi memastikan prasarana sekolah dapat diperingkatkan.

e.      Menggesa kerajaan agar mengkaji semula sistem pentadbiran disekolah agar dapat meringankan beban guru serta menjadikan tugas guru lebih cekap.