Rencana

Kemajmukan Islam

Beberapa hari lepas, saya dijemput menjadi salah seorang panelis dalam rancangan televisyen Bill Maher di HBO yang kemudiannya bertukar menjadi perbalahan agama.

Sama ada Islam mendukung keganasan atau tidak, perkara ini hangat diperdebatkan. Perbualan kami bertukar menjadi perbalahan mengenai Islam. Perkara ini menjadi sangat popular di laman internet. Maher dan Sam Harris, salah seorang panelis dalam rancangan televisyen berkenaan, menanggapi Islam itu sangat berbahaya, dan mendapat dukungan daripada mereka yang berfahaman liberal, manakala pelakon Ben Affleck merasakan komentar mereka terhadap Islam sangat jengkel dan rasis. Saya bersama Affleck dalam hal ini.

Setelah rancangan tamat, kami para panelis bersambung membahaskan topik ini dalam tempoh hampir sejam tanpa sebarang rakaman. Maher telah menghangatkan lagi perdebatan ini, jadi biar saya menawarkan tiga poin untuk berbeza pandangan.

Pertama, terbukti dalam sejarah bahawa Islam bukanlah fahaman yang tidak toleran, dan pada mulanya ia mengangkat darjat wanita. Sesiapa pun yang mendalami sejarah walaupun di abad keduapuluh tidak akan mengatakan bahawa Islam adalah agama yang dahagakan darah – penganut fahaman Nasrani/Nazisme/Komunis Eropah dan Buddhisme/Taoist/Hindu/atheis dari Asia lah yang mencatatkan rekod penyembelihan beramai-ramai.

Tetapi benar, terdapat beberapa ayat dalam Al-Quran yang menganjurkan keganasan, begitu juga Injil, yang menceritakan tentang firman Tuhan tentang genosid, misalnya terhadap bangsa Amalek. [1]

Kedua, dunia Islam mempunyai tanda-tanda yang menunjukkan mereka sangat tidak bertolak-ansur dan menindas. Golongan barbarik Islamic State (IS) menggunakan akidah mereka sebagai alasan untuk berlaku kejam  – sepertimana dalam tragedi penyembelihan seorang pekerja bantuan British yang mendedikasikan seluruh jiwanya untuk menyelamatkan nyawa masyarakat Muslim – mencalarkan lagi imej Islam. Tambahan, sembilan daripada sepuluh buah negara yang mencatatkan rekod paling buruk layanan terhadap wanita menerusi laporan World Economic Forum adalah negara yang majoritinya didiami oleh umat Islam. Di Afghanistan, Jordan dan Mesir pula, hampir ¾ umat Islam menyokong hukuman bunuh jika murtad, menurut dapatan kajian Pew.

Penindasan terhadap minoriti Kristian, Ahmadiyyah, Yazidi, Bahai – dan Syiah – pula merupakan perkara yang umum diketahui di dalam dunia Islam. Kita patut bercakap mengenai hal ini.

Ketiga, dunia Islam adalah pelbagai. Ia luas dan majmuk. Benar, empat daripada lima Afghan memilih untuk menyokong hukuman bunuh ke atas murtad, tetapi kebanyakan umat Islam mengatakan itu adalah kegilaan. Di Indonesia, negara yang mempunyai umat Islam paling ramai, hanya 16 peratus sahaja yang menyokong hukuman bunuh ke atas golongan murtad. Di Albania, Azerbaijan dan Kazakhstan, hanya dua peratus atau lebih sedikit yang menyokong, menurut dapatan Pew.

Kita harus waspada terhadap mereka yang melakukan generalisasi terhadap apa-apa kepercayaan kerana mereka adakalanya wajar disamakan dengan golongan yang cenderung bersikap perkauman. Hinduisme mempunyai Gandhi dan fanatik yang telah membunuhnya. Dalai Lama hari ini adalah seorang humanitarian yang luar biasa, tetapi Dalai Lama yang kelima telah mengarahkan pembunuhan anak-anak kecil pada tahun 1660.

Kristian pula diwakili oleh dua golongan. Golongan pertama adalah seperti Dr Martin Luther King. Golongan kedua pula diwakili oleh mereka yang berfikiran seperti Papal Legate[2] dari abad ke-13 di Perancis yang mengarahkan pembunuhan 20 ribu orang Cathar kerana mendakwa mereka bidaah.

Salah satu pengalaman yang paling menakutkan adalah ketika berhadapan dengan samseng- samseng yang terdiri daripada sekelompok Muslim Jawa. Mereka telah memancung kepala orang yang dianggapnya sesat dan memikulnya dengan tombak. Tetapi, hal ini sama menggerunkan ketika saya berhadapan dengan seorang hulubalang Congo yang menggelarkan dirinya seorang paderi Pentakostal, sekalipun berdepan tuduhan jenayah perang. Beliau pernah menjemput saya menghadiri makan malam dan mengatakan peluang bertemu dengan saya sebagai rahmat!

Karikatur yang mendakwa Islam sebagai ganas dan intoleran merupakan perbuatan dahsyat dan amat tidak tepat. Memang benar sebahagian besar yang berdiri mempertahankan golongan fanatik ini adalah Muslim. Tetapi, ada sebahagian daripada mereka yang tidak mewakili kelompok ini.

Di Pakistan, sekumpulan Muslim telah merogol seorang gadis Muslim bernama Mukhtar Mai sebagai hukuman ke atas kes yang disabitkan ke atas kekandanya. Namun setelah Mukhtar menang dalam perbicaraan ke atas penyerangnya di mahkamah, dia telah menggunakan duit pampasan yang beliau terima daripada kerajaan untuk mendirikan sebuah sekolah untuk perempuan-perempuan di kampungnya. Pengganas Taliban telah menembak Malala Yousafzai kerana beliau memulakan inisiatif pendidikan untuk umat Islam.

Iran telah menindas minoriti Kristian dan Bahai, tetapi seorang peguam beragama Islam, Mohammad Ali Dakhah telah menunjukkan iltizam yang hebat untuk melawan penindasan, dan akhirnya berjuang memenangkan seorang paderi di Iran. Namun, Dakhah kini sedang meringkuk selama sembilan tahun di dalam penjara.

Teman saya yang juga merupakan seorang peguam di Pakistan, Rashid Rehman, merupakan juara kepada hak asasi manusia dan toleransi beragama. Beliau telah terbunuh di pejabatnya dalam satu serangan membabitkan golongan fundamentalis Islam tahun ini.

Benar, kita harus mengecam keganasan, seksisme dan sikap intoleran yang menjadi dorongan Islamic State (IS) dan para sekutunya. Tetapi, janganlah kita lupa bahawa di kalangan Muslik ada wirawan seperti Mukhtar, Malala, Dadkhah dan Rehman, dan mereka juga mewakili unsur penting yang sinonim dengan ajaran Islam.

Janganlah kita membenarkan mereka yang anti-Islam untuk memaparkan imej keganasan yang dilakukan oleh umat Islam sahaja, pada masa yang sama mengabaikan kemajmukan agama ini yang mempunyai penganut seramai 1.6 Billion orang. Yang memisahkan bukanlah kepercayaan, tetapi di antara ketaksuban umat yang tidak toleran dalam mana-mana tradisi dan sejumlah ramainya penganut yang beramal, sukakan kedamaian yang lazimnya ditemui dalam mana-mana tradisi.

Mungkin, perkara ini terlalu rumit untuk disampaikan menerusi televisyen. Tetapi itulah realitinya.

 

[1] Bangsa Amalek merupakan penduduk awal kota Mekah. Bangsa Amalek disebut beberapa kali di dalam Kitab Perjanjian Lama. Bangsa ini dikatakan wujud lebih awal dari zaman Nabi Ibrahim.

[2] Papal Legate merupakan duta khas yang dikirimkan oleh Paderi semasa zaman Renaisans. Ia dianggap sebagai penyampai cop mohor daripada gereja-gereja di Itali.

 *Rencana ini merupakan terjemahan daripada tulisan Nicholas Kristof yang bertajuk “The Diversity of Islam”. Tulisan asal disiarkan oleh New York Times pada 8 Oktober 2014