Budaya

Festival penulis dan pembaca: Bukan pesta jual buku

Dalam memupuk budaya membaca di kalangan masyarakat kita, kita perlu didedahkan dengan pelbagai bahan. Tidak kiralah bahan itu komik picisan mahupun bahan penyelidikan. Penulisan juga, sebagai satu bidang lain memupuk daya cipta, kesusasteraan dan menambah pengetahuan.

Sehubungan dengan mencapai matlamat tersebut, maka banyaklah acara pesta-pesta buku. Ada yang bergabung dengan pesta pc (atau pesta komputer yang turut menjual pembalut telefon bimbit). Ibu kepada seluruh pesta buku ialah Pesta Buku Antarabangsa yang paling mutakhirnya pada 24 April – 4 Mei 2014 yang lalu.

Dua juta pengunjung dicatatkan sepanjang pesta tersebut dijalankan, dengan kiraan tertinggi sebanyak 800,000 orang pada cuti umum 1 Mei 2014 yang lalu. Objektif pesta tersebut ialah untuk mengkayakan agen-agen penjual buku, kontraktor pemasangan kotak pameran dan PWTC sebagai premis pesta dijalankan.

Apakah pengisiannya? Forum-forum dengan panel yang berniat untuk menjual buku yang baru dilancarkan, pelancaran novel cinta melankolik, buku-buku agama dan tidak ketinggalan buku motivasi. Sudah tentu, karipap dan teh-o tidak ketinggalan di pengakhir setiap slot acara – manakah antarabangsanya?

Festival penulis dan pembaca

Berbeza dengan Pesta Buku, Festival Penulis dan Pembaca (sebut Writers and Readers Festival) lebih mementingkan penampilan penulis-penulis, tidak kira buku terbitan lama dan baru dan mengupas, membedah sesuatu buku yang menjadi perbualan.

Selalunya, bidang-bidang yang dibincangkan termasuk inspirasi dalam mengupas, teknik penulisan kaedah penyelidikan yang dibuat dalam menerbitkan sesebuah buku itu. Jualan buku menjadi motif kedua mereka yang selalunya datang.

Sebagai contoh, Ubud Writers Readers Festival 2140 yang baru sahaja berlangsung bulan lalu di Bali melibatkan penyertaan 150 penulis dari 25 negara. Di sana, mereka berkongsi falsafah, bertukar-tukar ide. Pengisian festival bergengsi itu diisi dengan majlis keraian dengan kesusateraan, bengkel-bengkel khusus dalam bidang penulisan, persembahan-persembahan seni kontemporari dan tradisional Bali yang tidak mencantumkan beberapa tarian etnik dalam satu tarian, tayangan filem-filem, persembahan bacaan puisi, pameran seni budaya (yang bukan mempamerkan manuskrip kuno).

Di Malaysia, sekumpulan penerbit buku independen telah mempelopori festival-festival seperti ini dengan persembahan-persembahan bertenaga, perdebatan dan dialog hangat sama ada di antara penerbit dan penulis dengan penyertaan aktif daripada penggemar-penggemar buku. Festival ini bukanlah platform untuk para peminat berselfie dengan penulis pujaan mereka.

KL Writers & Readers Festival buat pertama kalinya diadakan di perkarangan Perpustakaan Kuala Lumpur pada 17-18 Disember 2012. Susulan daripada itu, JB Writers & Readers Festival dijalankan pada 16 September 2012 dan dijalankan secara tahunan. Di Johor Bahru, acara ini sudah dijalankan untuk tiga tahun berturut-turut dengan dana disuntik dalam Festival Seni Johor Bahru.

Kemeriahan dalam festival penulis dan pembaca amat berbeza dengan pesta buku dengan acara-acara yang bertenaga yang lebih beridelisme dan tidak meletak jualan sebagai motif utama mereka sebagai peserta festival.

Tahun ini, KL Writers & Readers Festival kembali pada 18 Oktober 2014 dan dipenuhi dengan pelbagai acara seni yang diatur. Untuk pengetahuan, sastera ialah salah satu cabang dalam kebudayaan. Pelancaran buku mereka tidak terikat dengan memotong reben tetapi dengan bedahan serta kupasan daripada pelbagai pihak.

Antara buku-buku yang dilancarkan pada tahun ini ialah buku puisi Tulangkata hasil tulisan Taufiq Azhar yang mempersembahkan puisi-puisi beliau dalam nyanyian dan sesi dialog bersama Benz Ali yang baru sahaja menerbitkan buku Antithesis.

Diharapkan bajet 2015 yang diperuntukkan kepada pendidikan memperbanyakkan acara-acara seperti KL Writers & Readers Festival supaya dengan cara ini budaya membaca akan dipupuk.