Rencana

Janganlah kita jadikan Malaysia seperti Chernobyl

Sudah beberapa malam tidur saya diganggu oleh mimpi-mimpi ngeri, bertukar menjadi mutan atau Shrek. Berselang-seli setiap malam. Lantas, ia menganggu kehidupan siang saya.

Ia semakin menjadi-jadi selepas saya telah meneliti satu dokumen mengenai kajian pemilihan Sri Menanti dan Sungai Balang, Muar, untuk pembinaan loji kuasa nuklear oleh Fakulti Sains, sebuah universiti awam tempatan.

Tambah buruk kerungsingan dan kebimbangan saya ini seperti bakal menjadi nyata apabila melihat peruntukan pembangunan bagi maksud P6 Jabatan Perdana Menteri yang diperuntukkan kepada Malaysia Nuklear Energy dalam Bajet 2015 yang telah diumumkan pada 10 Oktober 2014 lalu.

Adakah Malaysia semakin menghampiri untuk menggunapakai loji kuasa nuklear sebagai sumber tenaga kita?

Sejarah dunia telah menyaksikan banyak kemusnahan dan kemalangan dahsyat yang terjadi ekoran daripada penggunaan nuklear – sama ada persenjataan mahupun kemalangan radioaktif loji kuasa nuklear.

Tenaga jenis ini lebih banyak membawa kemudaratan berbanding menjadikan dunia ini selamat.

Kebiasaannya, loji tenaga nuklear adalah merupakan sasaran utama pihak militan dan organisasi pengganas. Sedikit sahaja kecuaian dalam soal keselamatan ini akan mendatangkan kesan buruk dan ngeri kepada kesejahteraan rakyat Malaysia dan rantau ini.

Pengalaman melihat mudahnya pintu sempadan kita dilolosi pihak-pihak tidak bertanggungjawab kebelakangan ini membuatkan saya terfikir sejauh mana kita mampu menangani kemungkinan di atas?

Malah, pengalaman berdepan isu pencemaran air yang berlaku di Muar juga buruk – setelah lebih 6 bulan menunggu, barulah agensi berkuasa memberikan statistik bacaan kualiti air terawat yang mana semasa krisis tersebut bacaan klorida telah berkali ganda melebihi paras bahaya seperti yang digariskan dalam piawaian kualiti air minum kebangsaan. Tetapi, pada ketika itu, tiada sebarang amaran bahaya dikeluarkan kepada penduduk Muar.

Ia memberikan saya satu lagi igauan ngeri jika berlakunya kebocoran reaktor, adakah pemerintah akan mengambil sikap yang sama dengan menutup maklumat sebenar daripada pengetahuan rakyat.

Selain itu, loji kuasa nuklear juga akan meggunakan air yang banyak sebagai sistem penyejukan. Kesan radiasi dari sisa radioaktif yang dialirkan kepada punca-punca air seperti laut dan tasik juga boleh mengakibatkan kematian kehidupan akuatik. Dampak yang disebut sebagai Eutrophication ini masih tidak mempunyai penyelesaiannya walaupun banyak seminar dan forum diadakan setiap tahun untuk mencari jalan penyelesaiannya.

Ada laporan dan kajian yang mengatakan kawasan perairan yang tercemar sisa radioaktif ini mengambil masa yang cukup panjang untuk kembali kepada keadaan asal. Lantas saya terfikir, apakah satu masa nanti saya dan generasi selepas saya akan memakan hasil laut yang telah bermutasi?

Bagaimana pula dengan aspek pengurusan sisa radioaktif yang terhasil daripada loji kuasa nuklear? Di manakah kerajaan akan melonggokkan sisa-sisa ini?

Tragedi kemalangan radioaktif di loji kuasa nuklear Chernobyl yang berlaku pada 26 April 1986 adalah pengajaran besar kepada dunia akan kemudaratan loji ini kepada kehidupan manusia.

Laporan WHO pada tahun 2006 menyatakan ketika itu terdapat 5 juta orang yang tinggal di kawasan sekitar Belarus, Russia, dan Ukraine mempunyai kadar Radioactive Caesium Deposition lebih daripada 37 kBq/m2.

Laporan tersebut juga menyatakan ramai antara rakyat di kawasan tersebut yang mengalami penyakit kanser thyroid, leukimia, kematian akibat Acute Radiation Sickness, katarak, penyakit kardiovaskular, penyakit mental dan psikologi, dan juga masalah kesihatan terhadap kanak-kanak walaupun telah 20 tahun tragedi Chernobyl berlaku.

Saya juga sering termimpi apakah nanti anak-anak saya akan datang juga akan mewarisi masalah-masalah seperti kanak-kanak di Belarus, Russia dan Ukraine?

Oleh itu, artikel ini saya nukilkan untuk merayu kepada Perdana Menteri, Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Ahli-Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Negeri untuk memikirkan semula dampak dahsyat yang mungkin akan kita hadapi dengan pembinaan loji kuasa nuklear ini.

Janganlah kita biarkan mimpi-mimpi indah anak-anak kita akan terganggu dengan igauan ngeri menjadikan Malaysia seperti Chernobyl.

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pendidikan Politik
DAPSY Muar