Berita

Kerajaan disaran sepadu projek kereta api KL-Singapura dengan pengangkutan awam

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Ahli Parlimen DAP Kluang Liew Chin Tong menyarankan kerajaan menyepadukan projek kereta api laju Kuala Lumpur – Singapura (High Speed Rail, HSR) bersama sistem pengangkutan awam untuk kepentingan rakyat.

“HSR harus disepadukan dengan mod pengangkutan awam yang lain untuk kemudahan penumpang agar dapat sampai ke destinasi akhir mereka.

“Integrasi tersebut akan mengoptimumkan penggunaan HSR yang hanya terhad kepada Kuala Lumpur dan Singapura, sekaligus menggalakkan mereka yang tinggal di Kluang dan Segamat untuk menggunakannya,” kata Chin Tong dalam satu kenyataan.

Katanya, tanpa usaha untuk menyepadukan HSR dengan sistem pengangkutan awam, ia hanya akan menjadi satu lagi projek Gajah Putih yang merugikan.

Pengerusi DAP Johor itu menyatakan, dengan langkah tersebut, ia bukan sahaja mewujudkan faedah HSR ke kota lain sekitarnya, malah meningkatkan bilangan penumpang dengan tambang yang lebih murah.

Pada sidang Parlimen 8 Oktober lalu, Chin Tong meminta Kementerian Pengangkutan untuk menyatakan tentang sama ada projek HSR akan dihubungkan dengan stesen kereta api lain sedia ada.

“Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) kini mengadakan perbincangan terperinci bersama Kerajaan Negeri bagi memuktamadkan lokasi stesen HSR di kawasan-kawasan yang telah dikenalpasti berdasarkan pelan pembangunan negeri.

“Pada masa kini, Koridor Selatan yang dilayani oleh projek HSR, tidak berdekatan dengan rel KTM sedia ada, maka projek HSR tidak termasuk penyambungan kepada servis rel lain,” jawapan Kementerian Pengangkutan dipetik.

Berdasarkan jawapan itu, Chin Tong menegaskan, jelas membuktikan Kementerian dan Jabatan Perdana Menteri tidak pernah belajar dari kegagalan mereka menghubungkan tiga laluan kereta api utama – LRT Putra, LRT Star dan Monorel di Kuala Lumpur.

“Kealpaan perancangan kerajaan menyebabkan trio laluan kereta api ini tidak mempunyai stesen umum untuk kemudahan penumpang.

“Sebagai contoh, pengguna terpaksa berjalan 500 meter dari Stesen Monorel ke KL Sentral tanpa laluan berbumbung.

“Masalah ini tidak akan timbul jika stesen monorel dibina di dalam bangunan KL Sentral untuk integrasi yang mudah dengan KTM dan LRT,” kata Chin Tong. – Roketkini.com