Berita

Masalah pemerdagangan manusia: Sistem biometrik perlu diaudit

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu menjelaskan di Dewan Rakyat pelaksanaan Sistem Biometrik Warga Asing dan Sistem Sekuriti Nasional Nexcode (NERS).

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim berkata, NERS mendapat peruntukan berjumlah RM75 juta pada 2014 dan RM100 juta (2015) selain diberi konsesi 12 tahun mulai 1 Jun 2011 untuk membekal sistem dan perkhidmatan merekod dan memantau kemasukan warga asing ke Malaysia.

“Tahun ini merupakan tahun ketiga projek tersebut dan mengikut perjanjian, satu audit oleh badan bebas yang dilantik kerajaan akan dijalankan ke atas sistem tersebut.

“Saya memohon laporan audit ini dikemukakan ke Parlimen memandangkan sistem ini berkos tinggi, lebih kurang RM100 juta setahun, bertujuan memantau kemasukan warga asing ke Malaysia dan amat penting untuk keselamatan negara,” kata Sim dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu kata Sim, terdapat jurang besar berhubung pembayaran kepada NERS oleh kerajaan.

Berdasarkan Laporan Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2015, sebanyak 1,386,591 Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia bagi tahun 2013.

Mengikut perjanjian sistem NERS, kerajaan akan membayar RM50 bagi setiap pas yang dikeluarkan, yang membawa kepada jumlah RM69.3 juta bagi tahun 2013.

“Namun, daripada Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2013, saya mendapati kerajaan telah membayar syarikat NERS sebanyak RM105.2 juta.

“Mengapa ada jurang perbezaan kos tersebut sebanyak RM35.9 juta? Adakah ini terlebih bayar ataupun bayaran-bayaran lain yang tidak diumumkan?

Menurut Sim, jika nisbah tersebut dipadankan, bermakna terdapat kira-kira 718,000 pendatang asing terlepas dari rekod Jabatan Imigresen Malaysia walaupun pas dikeluarkan dan bayaran telah dibuat kepada NERS.

“Ini merupakan perkara serius, dan mencerminkan kegagalan sistem masa kini yang telah menelan belanja berbilion ringgit untuk dilaksanakan.

“Kegagalan ini juga dicerminkan pada penurunan Malaysia ke Tahap 3 indeks pemerdagangan manusia,” tegas Sim. – Roketkini.com