Berita

Rakyat bayar harga minyak lebih tinggi daripada pasaran?

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Apakah rakyat Malaysia membayar harga minyak RON95 lebih mahal daripada pasaran semasa?

Ketua Biro Pembangunan Ekonomi DAP Perak Chong Zhemin berkata, kejatuhan harga minyak dunia pada kadar 11.71 peratus jelas lebih tinggi berbanding 28 sen subsidi kerajaan (10.85 peratus daripada harga pasaran)

“Maka kita boleh katakan bahawa harga pasaran sebenar RON95 lebih rendah berbanding yang kita bayar sekarang, iaitu RM2.30 seliter.

“Dengan turunnya harga minyak dunia, kerajaan juga perlu segera menurunkan harga bagi RON95 dan diesel,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, laporan AmResearch berhubung subsidi minyak yang dikeluarkan baru-baru ini mengesahkan perkara tersebut.

“Laporan itu menganggarkan purata ‘harga modal’ (breakeven) minyak mentah antarabangsa pada USD84.80 segelen.

“Laporan itu menganggarkan jika tanpa subsidi, harga RON95 adalah pada RM2.30 seliter, ‘harga modal’ (breakeven) bagi harga minyak mentah dunia adalah pada purata USD84.80),” kata Chong yang juga Setiausaha Politik Ahli Parlimen Taiping.

Namun katanya, dengan harga Brent (nilai piawaian minyak yang bersumber dari Eropah) ditutup pada USD84.47 semalam, rakyat Malaysia kini hakikatnya membayar cukai minyak untuk RON95.

AmResearch menganggarkan pengurangan 10 peratus harga minyak mentah dunia, berpotensi mengurangkan jumlah subsidi yang diberikan kerajaan kepada RM35.6 juta.

“Maka dengan harga minyak dunia menurun melebihi 11 peratus, kerajaan perlu telus dalam bagaimana baki wang yang dijimatkan itu dibelanjakan,” katanya.

“Tambahan pula, pemilik kereta juga telah banyak membayar cukai berkaitan kenderaan. Penjimatan subsidi itu perlu dipulangkan kepada rakyat,” katanya lagi.

Dalam Belanjawan 2015, kerajaan menganggarkan akan mengutip cukai berkaitan berjumlah RM17.3 bilion, iaitu dalam bentuk duti eksais (RM8 bilion), cukai jualan (RM4.5 bilion), duti import (RM1.1 bilion) dan lesen kenderaan (2.4 bilion). – Roketkini.com.