Berita

Tiada dakwaan ke atas Ibrahim Ali, Menteri Kabinet dicabar letak jawatan

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Menteri Kabinet dicabar untuk meletakkan jawatan jika tidak menyokong keputusan kerajaan mempertahankan ancaman Presiden Perkasa Ibrahim Ali untuk membakar Bible berbahasa Melayu

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, perletakan jawatan itu sebagai bantahan atas tindakan Najib dan kabinetnya yang tidak berprinsip.

“Jika Najib dan Kabinet menyokong keputusan serta tindakan Peguam Negara mempertahankan Ibrahim, maka hanya ada satu cara terhormat untuk menteri yang tidak menyokong, iaitu meletakkan jawatan.

“Kerana tindakan Najib dan kabinetnya merupakan pelanggaran janji untuk memimpin negara berdasarkan prinsip keadilan, wasatiyyah, keseimbangan dan tidak berkompromi atau menyerah pada ektremisme,” katanya dalam satu kenyataan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri 8 Oktober lalu berkata, kerajaan tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap Ibrahim kerana kenyataannya itu adalah bagi mempertahankan kesucian Islam dan tidak berniat mengugat agama lain.

Nancy turut menyebut tindakan Ibrahim adalah dilindungi oleh Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

Selepas dikritik hebat, Nancy beralasan kenyataannya berdasarkan justifikasi oleh Jabatan Peguam Negara.

Sementara itu, Nancy pagi tadi seperti dilaporkan Borneo Post mendakwa bahawa beliau sebenarnya tidak pernah menyokong individu yang mempunyai pandangan ekstrem seperti Ibrahim dan menjunjung tinggi kedaulatan undang-undang.

Beliau memberitahu, keputusan tidak mengambil ke atas Ibrahim dibuat berdasarkan hasil siasatan polis. – Roketkini.com