Rencana

Bangsa Johor: Menuju kejadian sebagai ‘bangsa pencerahan’ – Siri 1

Ramai pemimpin besar lahir di Johor. Fakta ini tidak membawa apa-apa pengertian, sebaliknya ia boleh menjadi satu ‘semangat kenegerian’, dan jika ia gagal disadap dengan betul, maka ia boleh menjerumuskan kita semua menjadi taksub kepada perkauman (asobiyah). Selisih malaikat empat puluh empat, minta dijauhkan.

Namun, di sebalik realiti ini, ada jalur pemikiran yang telah dan sedang berkembang secara halus dan perlahan, apabila tokoh-tokoh yang lahir di bumi Johor telah melahirkan ide-ide menarik yang boleh dibahas dan direnungkan. Iaitu ‘Bangsa Johor’. Adakah ini gagasan besar? Tidak dapat kita pastikan. Apakah gagasan ini penting? Hanya masa yang akan menentukan.

Dari riwayat mulut ke mulut, difahamkan perkataan ini pernah diluncur keluar dari lidah Sir Abu Bakar, Maharaja Johor yang juga dikenali dalam Bahasa Inggeris sebagai Albert Baker. Beliau ini dianggap sebagai Bapa Johor Moden.

Daripada riwayat teks pula, gagasan Bangsa Johor ini hanya disebut secara umum dan abstrak, tidak ada bentuk jumud, antaranya oleh Tun Sri Lanang, seorang tokoh yang hidup pada kurun ke-16. Tun Sri Lanang adalah anak jati Johor.

Dalam konteks politik moden, gagasan ini dicerna oleh Dato Onn, tokoh yang melahirkan UMNO tetapi kemudiannya disisihkan oleh partinya sendiri. Ia cuba digarap oleh Onn Jaafar hingga membuka cadangan agar UMNO turut membuka wadahnya kepada kaum selain Melayu. Tetapi beliau gagal. Tokoh DAP Lim Kit Siang, pada PRU-13 yang lalu, kembali menyemak gagasan Dato Onn ini. Maka dari situlah munculnya gagasan Impian Malaysia yang kini sedang giat dijalankan di Sabah dan Sarawak.

Rentetannya, gagasan ini sedang cuba pula dirumus dengan lebih terperinci lagi oleh Liew Chin Tong, seorang pemuda Cina daripada keluarga miskin dari Lembah Klang yang kini menetap di Johor setelah menang kerusi Parlimen Kluang. Tidak ada lagi gambaran yang jelas tentang Bangsa Johor ini, hanya anggapan dan culaan tentangnya. Bermakna, semua pihak masih teraba-raba mencari dan memahami makna dan bentuknya.

Namun demikian, saya percaya gagasan Bangsa Johor ini harus dirumus juga oleh para sarjana, ahli akademik, budayawan, pemikir awam dan rakyat – bukan hanya dibaja dan digarap oleh ahli politik yang akhirnya mengecilkan dimensi faham Bangsa Johor dan menjadikannya eksklusif.

Gagasan Bangsa Johor ini perlu disemak kembali agar ia tidak hanya berdiri atas hujah politik agar ia dapat mengumpul momentum, berkembang dalam watak yang alami dan seterusnya memberi manfaat kepada usaha membentuk Bangsa Malaysia.

Di samping memberi pandangan tentang gagasan Bangsa Johor ini, akan kita selitkan ungkapan bahasa dan perkataan orang Johor dari masa ke semasa sebagai perkara baik dan mudah yang boleh dikongsikan kepada umum.

1. Anu – diterjemah mengikut keadaan:
“Anak anu tu dah kahwin ke belum?” – anu dirujuk sebagai seseorang sebagai ganti nama.
“Anu dia sakit ke? Mengengkang jalan” – merujuk kepada benda / alat sulit.
“Kau janganlah anu dia, dia ada abang Long.” – merujuk kepada perkara atau perbuatan.
“Aku ingat nak bagi anu…” – merujuk perkara/perbuatan/sifat/nama.

2. Biang (miang) – Gatal (perbuatan tidak senonoh/mengganggu):
“Biang betul anak Kak Ros tu..kau tengoklah tu…” – merujuk sebagai lelaki atau perempuan yang gatal.

3. Menonong – perbuatan tidak ambil tahu/tak peduli
“Wah, dia lalu depan aku menonong saja, tak tegur pun, mentanglah-mentanglah aku ni bukan ketua kampung.”

4. Meraban – melalut, merapu – sering dirujuk kepada perbuatan atau percakapan yang tidak difahami.
“YB ni kalau bercakap dia meraban, tak kuasa aku nak dengo (dengar).”

5. Gebo (gebor) – kain selimut
“Kau ambil gebo aku apa hal, ni aku beli dengan duit Br1M tau tak.”

6. Esbog – peti sejuk
“PA dia buat keras saja, macam ikan dalam esbog.”

7. Sogame – sekolah agama
“Kalau kau tak pergi sogame, aku bagitahu kat bapak kau.”

8. Sokkabo – surat khabar
“ Sokkabo ni hari-hari nak membohong.”

9. Terpeleot – terseliuh/tergeliat/terkehel
“Terpeleot lidah aku nak menyebutnya, apa dia pro-li-fe-ration?”

Ungkapan-ungkapan ini boleh dianggap sebagai bahasa slanga, perkataan-perkataannya pula bercampur dan berevolusi dengan lidah masyarakat suku Jawa, Banjar, Bugis dan lain-lain. Ia tidak diiktiraf secara rasmi sebagai Bahasa/Perkataan Johor, namun ungkapan-ungkapan ini dituturkan sejak zaman berzaman. Ia mempunyai perkaitan dengan Bahasa Johor Riau.

Bersambung pada siri akan yang datang.