Rencana

Bangsa Johor: Menuju kejadian sebagai ‘bangsa pencerahan’ – Siri 2

Difahamkan bahawa istilah Bangsa Johor ini menolak gagasan ‘Rakyat Johor’ kerana para bangsawan dan bijak pandai pada zaman itu (antara 1890-1940an) menganggap bahawa ‘Bangsa Johor’ ini akan dapat merangkumkan semua kaum, manakala ‘rakyat’ pula dilihat akan mewujudkan jurang perbezaan antara kumpulan bangsawan, elit dan rakyat berdasarkan kaum. Maka ide Bangsa Johor itu jadi sebutan dan ikutan berbanding ‘Rakyat Johor’.

Agak nyata bahawa pandangan ini sangat maju pada ketika itu. Konsep satu bangsa ini digarap jauh lebih awal daripada konsep 1Malaysia yang sedang digeluti oleh Najib Tun Razak pada hari ini.

Johor moden diiktiraf sebagai sekutu oleh British ketika itu hingga menjadikannya satu-satunya negeri Wilayah Merdeka yang mempunyai askarnya sendiri yang dikenali sebagai Timbalan Setia Johor atau Johore Military Forces (JMF).

Namun, semua penzahiran ini masih agak kabur mengenai konsep Bangsa Johor. Menerusi sastera, Tongkat Warrant pernah cuba menggambarkan sifat-sifat orang Johor:

Melayu Johor,

Telah terlalu banyak kita kehilangan – Sawah ladang bertukar tangan – Pekan dan bandar kita menumpang – Teluk Belanga entah ke mana – Yang tinggal hanyalah pakaian – Sedarah sedaging hampir hilang – Yang ada hanyalah setulang – Selat Tebrau kian sempit – Hati rindu jauh tergamit.

Di Johor,

Jawa itu Melayu – Bugis itu Melayu – Banjar itu Melayu – Minangkabau memang Melayu – Aceh dan Siak adalah Melayu – Jakun dan Sakai lebih Melayu – Arab dan Turki pekat Melayu – Mamak dan Malbari jadi Melayu – Malah mualaf bertakrif Melayu.

Melayu itu maknanya bijaksana – Jika menipu pun bersopan – Kurang ajarnya tetap santun – Dajalnya cukup selamba – Budi bahasa jangan dikira – Beraninya cukup benar – Tunduk bila bersalah – Lembutnya cukup jantan – Setia sampai ke kubur – Biar mati adat jangan mati sahabat.

Anak Johor,

Luka di Tanjung Puteri – Parutnya di Parit Raja – Muka biar berseri – Mulut biar berbahasa.

Berkelahilah cara Melayu – Menikam dengan pantun – Menyanggah dalam senyum – Marahnya dalam tertawa – Merendah bukan menyembah – Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan – Jiwa Melayu mengangkat persahabatan – Kasih sayang kekeluargaan – Ringan tulang saling bertolongan – Jujur memaafkan ikhlas memberikan.

Berdamailah cara Melayu,

Silaturahim yang murni – Di mulut sama di hati – Maaf sentiasa bersahut – Tangan dihulur bersambut – Luka pun tidak lagi berparut.

Melayu Johor saudaraku yang dikasihi,

Dalam kekeruhan ini carilah kejernihan – Dalam sengketa ini sambutlah perdamaian – Sifat terpuji setiap insan – Bermuafakat supaya berkat – Bersaudara dunia akhirat – Berikhtiar dengan tabah – Kepada ALLAH berserah.

(MELAYU JOHOR 1988 – Allahyarham Datuk Usman Awang, Sasterawan Negara Lahir di Kuala Sedili, Kota Tinggi Johor)

Dalam era itu juga, konsep Bangsa Johor ini cuba dizahirkan juga dalam bentuk ekonomi apabila kerajaan negeri bekerjasama dengan pedagang Cina yang mana pada ketika itu mereka sedang cuba mengembangkan perniagaannya di Singapura ke Johor.

Kewujudan kerjasama yang sistematik ini telah memberi kesan terhadap kemajuan pengurusan dan pentadbiran kerajaan dalam aspek ekonomi dan pengurusan tanah yang cekap. Maka ekonomi kerajaan negeri berkembang maju bersama kemakmuran sosial. Manakala kaum pedagang Cina mendapat taraf kerakyatan dengan lebih cepat dan mudah serta proses kemajmukan bangsa telah berjalan dengan lancar.

Namun, jika konsep ini dibandingkan dengan konsep 1Malaysia garapan Najib Tun Razak, kelihatannya agak cacamerba. Sebagai contoh, di zaman Najib inilah munculnya banyak kumpulan ultra Melayu yang sangat berbeza dengan gambaran yang telah dizahirkan oleh Usman Awang dalam puisinya.

Melayu yang telah Najib munculkan tidak ada ‘Melayu itu maknanya bijaksana’, tidak ada ‘Melayu menolak permusuhan’, tidak ada ‘Menyanggah dalam senyum’ malah kumpulan ini juga tidak ada nilai ‘Dalam sengketa ini sambutlah perdamaian’.

Dengan lebih tepat lagi, Melayu selepas era Tun Mahathir telah hilang semua nilai-nilai ini.

Dalam aspek ekonomi, juga jelas kita dapat lihat bagaimana sejak zaman Tun M hinggalah Najib Tun Razak bagaimana mereka membuat dasar dalam sistem ekonomi yang mendukung kroni dan elit berbanding sistem Kangchu yang telah berjaya memberi kemajuan dan kestabilan sosial negeri.

Seperti sebelum ini, mari kita mengenali kosa kata Bangsa Johor:

1. Mengelenyar – pernyataan sifat tak boleh duduk diam – hiperaktif
“Cucu Datuk Zulkarnain ni tak boleh duduk diam, mengelenyar saja.”

2. Semenggah – serius, bersungguh-sungguh.
“Semenggahlah sikit buat kerja tu Khalid ” atau “ Jais ni buat kerja tak semenggahlah.”

3. Jotos – perbuatan menyekeh, melutu (sekeh/lutu)
“Kau jangan main-main Shuhaimi, aku jotos kau nanti!”

4. Bedeneh – melampau, keterlaluan
“Asiah ni masak asam pedas, kuahnya cair bedeneh.”

5. Cempak – campak
“Baik kau angkat tu Mail, kalau tak aku cempak kau ke laut nanti.”

Bersambung siri akhir