Berita

Mula di ‘rumah sendiri’, sebelum cadang ‘kesederhanaan’ di Majlis Keselamatan PBB

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu menambah satu lagi perkara kepada lima keutamaan yang akan dilaksana Malaysia selepas dipilih sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata perkara tersebut ialah melaksanakan agenda kesederhanaan terlebih dahulu di negara ini.

“Malaysia sebagai anggota tidak tetap UNSC tidak mempunyai kewibawaan untuk mengajukan kesederhanaan di peringkat global jika ia gagal dilaksanakan terlebih dahulu di negara sendiri,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Najib pada sidang kemuncak Asia-Eropah (Asem) ke-10 di Milan berkata, lima keutamaan akan dilaksana Malaysia selepas dipilih sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

Perkara tersebut ialah mengembangkan agenda kesederhanaan di peringkat global, menggalakkan rundingan dalam penyelesaian konflik, operasi pengaman PBB, membantu proses mencapai keamanan di negara berkonflik dan membincangkan reformasi komprehensif UNSC dan PBB.

Kit Siang menegaskan, sekiranya Malaysia ingin menjadi anggota keselamatan PBB yang berkesan dan boleh dipercayai, Najih perlu menambah keutamaan keenam, iaitu mengangkat agenda kesederhanaan sebagai perkara utama

“Jika tidak, kempen kesederhanaan di peringkat global akan tanat sebelum ia sempat dilancarkan.

“Apakah ‘kesederhanaan’ tafsiran Najib begitu merosot sehingga kebebasan bersuara dan hak menyatakan pendapat dianggap sebagai hasutan oleh Peguam Negara?” soal Kit Siang.

Dalam pada itu, Kit Siang turut mengulas ucapan Najib pada pembukaan Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan ke-43 hari ini yang mengatakan bahawa BN termasuk Umno menolak sebarang bentuk ekstremisme.

Menurut Lim, adalah terlalu dangkal sekiranya Najib dalam ucapannya di persidangan Gerakan bercerita mengenai isu pengundi hantu dan pengundi Cina tidak menyokong BN kerana ‘terpedaya’ dengan isu tersebut.

Sedangkan katanya, keutamaan yang wajar dijawab Najib adalah mengenai kemarahan orang ramai berikutan jawapan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri bahawa Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali tidak didakwa meskipun mengancam untuk membakar kitab Bible.

Kit Siang turut menyeru menteri dari parti MCA dan Gerakan menggalakkan Najib agar komited terhadap usahanya menyelesaikan isu kesederhanaan di negara sendiri, sebelum memberi ucapan berbaur retorik di pentas antarabangsa.

“Mungkin ini sebabnya mengapa ucapan Najib tidak mempunyai daya tarikan, ekoran percanggahan yang amat nyata dalam kes Ibrahim Ali,” ujar Kit Siang. – Roketkini.com