Berita

Sampai bila BN mahu bandingkan Malaysia dengan negara lebih mundur?

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Kerajaan BN tidak boleh lagi membandingkan Malaysia dengan negara mundur untuk menjustifikasikan masalah yang dihadapi negara, sebaliknya perlu memulakan langkah untuk menyelesaikannya.

Naib Presiden DAP Teresa Kok berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengarah Eksekutif Malaysian International Chamber of Commerce and Industry Stewart Forbes semalam, bahawa Malaysia ketinggalan 19 tahun di belakang Korea Selatan dari segi daya pengeluaran.

Ketika berucap dalam sebuah forum Forbes turut berkata, kerajaan lebih suka membandingkan keadaan negara dengan negara yang lebih mundur berbanding mengatasi masalah seperti rasuah, ketirisan dan undang-undang buruh yang ketinggalan zaman yang menyebabkan Malaysia ketinggalan.

“Forbes memang betul, kerajaan sering memilih negara terburuk untuk dibuat perbandingan. Hakikatnya, ini kerana kerajaan gagal menjelaskan kepada rakyat mengapa kita terlalu jauh ketinggalan berbanding Korea Selatan, dan juga Taiwan dan Singapura,” katanya dalam satu kenyataan.

Walhal, Malaysia yang dahulunya mendapat jolokan ‘Harimau Ekonomi Asia’ pernah mendahului Korea Selatan.

Misalnya pada tahun 1980, keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia lebih tinggi, iaitu pada USD$1,769 setahun, berbanding KDNK negara tersebut, iaitu hanya US$1,689 setahun.

Namun, selepas proses pendemokrasian pada tahun 1987, negara itu berjaya mencapai kemajuan besar dalam ekonomi dan inovasi serta keluar daripada masalah ‘middle-income trap’ yang malangnya masih membelenggu Malaysia hari ini.

Justeru itu, beliau menggesa kerajaan, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, agar tidak mengenepikan begitu sahaja kenyataan Forbes.

“Hari ini, Malaysia sememangnya jauh ketinggalan dengan Korea Selatan. Banyak yang perlu dilakukan untuk mengejarnya.

“Najib tidak boleh mengambil sikap berdiam diri, sebaliknya menjawab kenyataan Forbes itu.

Katanya lagi, perkara utama yang diperlukan adalah iltizam politik untuk melawan rasuah dan ketirisan, yang sehingga kini tidak mampu ditunjukkan oleh kerajaan BN.

“Malangnya, seperti yang kita lihat dalam pembentangan Belanjawan 2015, kerajaan masih tiada keinginan untuk itu. Mereka tidak serius untuk membuat reformasi politik,” katanya lagi. – Roketkini.com