Rencana

Anjing, Oktoberfest dan masyarakat Melayu

Anjing bukan perkara yang asing dalam perbahasan keilmuan Islam. Kalau kita membaca kisah dalam Quran, antaranya ada kisah Ashabul Kahfi – kisah sekumpulan pemuda yang beriman lari ke dalam gua untuk menyelamatkan iman mereka daripada pemerintah yang zalim pada zaman Raja Decius dari Rom. Mereka tertidur lebih 300 tahun dan apabila bangun mendapati anjing mereka, Qitmir, hanya tinggal tulang-belulang.

Bahkan ada hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari menceritakan kepada kita bagaimana kisah ihsan seorang perempuan yang seluruh hayatnya menjadi pelacur akhirnya masuk syurga kerana memberi anjing minum dari sepatunya.

Begitu juga apabila kita menyemak naskhah fiqh Islam, dibincangkan dengan jelas dan bebas bagaimana hukum berkaitan dengan anjing. Al-Syafie dan Ahmad bin Hanbal menganggap bahawa anjing najis seluruhnya, termasuk bulu-bulunya. Pendapat yang masyhur daripada Malik pula menyebut anjing ialah suci, tidak najis sekalipun air liurnya. Pendapat ketiga, yang masyhur daripada Abu Hanifah ialah bahawa ia najis pada air liurnya sahaja dan bulu-bulunya pula bukan najis.

Bagaimanapun, saya yakin isu anjing yang sedang hangat sehari dua ini bukan sekadar permasalahan fiqh yang asas. Kempen sentuh anjing yang bertujuan untuk menggalakkan hubungan yang baik antara manusia secara umumnya dan umat Islam khususnya dengan anjing yang selama ini curiga kepada anjing – curiga sehingga ke tahap menghina, mencederakan dan memukul anjing. Reaksi awam selepas kempen ini berbeza.

Antara yang menarik perhatian saya adalah promosi selepas kempen dengan gambar Muslim masing-masing memegang anjing tanpa rasa takut.

Walaupun selama ini masyarakat Muslim Malaysia memahami bahawa anjing adalah najis dan haram, keadaan menjadi berbeza dalam zaman ini. Sebahagiannya seperti sengaja menunjuk kepada umum walaupun kepercayaan dan ketakutan masyarakat kepada anjing masih menebal.

Begitu juga kalau kita melihat isu yang berturutan sebelumnya, iaitu pesta Oktoberfest.

Oktoberfest, sebuah budaya yang diimport dari Jerman dan menjadi hangat tahun ini, sebenarnya bukan baru sahaja dibuat pada tahun ini. Tetapi tahun ini menjadi hangat apabila sebilangan pemimpin politik DAP menayang gambar mereka bersama minuman keras di laman facebook mereka. Sebilangan besar umat Islam menyambut dengan rasa marah atas alasan merosakkan sensitiviti umat Islam negara ini.

Sedangkan pendapat yang masyhur dalam masyarakat kita bahawa non-muslim bebas untuk minum minuman keras.

Muslim yang menayang gambar bersama anjing dan ahli politik DAP yang menayang gambar bersama minuman keras sebenarnya membawa satu mesej yang lain. Satu dari masyarakat sivil dan satu daripada parti politik. Kedua-duanya membawa mesej bahawa mereka penat kepada hegemoni kekuasaan agama di Malaysia yang terlalu mengongkong kebebasan untuk mengamalkan apa yang dipercayai.

Masyarakat yang hidup dalam suasana autoritarian, cuba mendobrak autoriti agama yang beku dengan peruntukan-peruntukan tertentu untuk hidup sebagai Muslim dan non-Muslim dalam negara ini. Misalnya, fahaman Ahlus sunnah wal jamaah bagi pihak berkuasa agama hanyalah dalam ruang lingkup beraqidahkan mazhab Asya’irah dan bermazhabkan pandangan mazhab Syafie dalam fekah. Beberapa tokoh agamawan yang dituduh Wahhabi pernah ditangkap oleh jabatan berkuasa agama kerana didakwa mengajar selain dari faham Ahlus sunnah wal jamaah versi negara. Malah, tulisan-tulisan yang didakwa bertentangan dengan faham Ahlus sunnah wal jamaah turut dirampas dan dihalang masuk ke negara ini

Perkara ini tidak patut berlaku dalam negara yang moderat seperti Malaysia. Jika kita teliti sejarah kegemilangan keilmuan Islam pun, ilmu hadis dan fekah empat mazhab berkembang pada zaman kerajaan Abbasiah yang Muktazilah – memberikan kebebasan kepada ilmuwan untuk menulis kitab, mengajar dan menyebarkan faham agama masing- masing. Malah kumpulan-kumpulan bukan-Islam juga dibiarkan hidup bebas.

Begitu juga dengan sikap Imam Malik yang menolak permintaan khalifah untuk menjadikan adikaryanya, al-Muwatta’, sebagai perundangan rasmi negara. Kita membaca sikap beliau itu menolak kebekuan dalam faham beragama dan mengelakkan sikap autoritarian pemerintah hanya dalam lingkungan satu mazhab sahaja.

Memegang anjing dan menayangkan minuman keras adalah satu contoh reaksi kepada kekuasaan agama. Sikap ahli politik DAP itu mungkin adalah isyarat politik kepada sekutu politiknya, iaitu PAS, melalui beberapa orang – Tantawi, Takiri dan Nik Abduh – bahawa cukup mencampuri urusan bukan-Muslim! (walaupun saya tidak bersetuju pemimpin yang baik adalah pemimpin yang mempromosi minuman keras yang banyak kerosakannya).

Tentu reaksi penat dengan hegemoni kuasa agama ini bukan baru berlaku sehari dua melainkan ada corak tindakan sejarahnya. Apakah sikap pihak berkuasa agama yang nampaknya terpilih atau double standard kepada pihak yang ingin membakar Bible, larangan nama Allah kepada gereja Kristian dan sebagainya telah menimbulkan aksi- aksi melawan kekuasaan agama ini?

Malaysia sebagai negara majoriti Muslim gagal menunjukkan keindahan Islam kepada warganya dengan sikap jabatan kekuasaan agama yang kita maklum dikawal-selia oleh kerajaan yang berkepentingan mahu menjuarai isu Melayu-Islam dengan cara yang mudah. Tanpa kajian sosial yang mendalam, tanpa budaya, tanpa pemahaman kepada teks tradisi Islam klasik, kerajaan dan jabatan berkuasa agama terus membakar sentimen rakyat Malaysia.

Islam yang kita tonjolkan selama ini, meminjam Gus Dur, adalah Islam marah, bukan Islam ramah.

*Asyraf Muiz Roslan adalah felo di Lingkaran Islam Tradisional -Roketkini.com