Rencana

Memansuhkan Akta Hasutan adalah tanggungjawab generasi kini

Pada 16 Oktober 2014, sementara ratusan peguam lengkap memakai suit turun ke jalanraya di bawah terik mentari demi membantah Akta Hasutan 1948, ketua-ketua pemuda Umno dan Gerakan memperkecilkan perarakan tersebut dengan jemari mereka di Twitter. Komen mereka terhadap perarakan itu diselubungi bayang-bayang politik lapuk, sedangkan sebagai ketua pemuda mereka sebenarnya diharapkan bersuara untuk masa depan. Ini sangat mengecewakan.

Kedua-dua mereka percaya bahawa Akta Hasutan diperlukan untuk melindungi negara daripada ucapan yang menghasut dan mengekalkan keharmonian nasional. Mungkin mereka sudah lupa bahawa walaupun sudah bertahun-tahun menggunakan undang-undang tersebut, keharmonian negara semakin digasir sehingga ke tahap paling buruk dalam sejarah.

Keharmonian yang berkekalan menuntut kesefahaman yang tulus antara kelompok yang pelbagai melalui pendidikan dan wacana, bukannya dengan mengekang pemikiran serta hak bersuara mahupun dengan menindas mereka yang membantah atau mengkritik. Anak muda Malaysia mestilah berani untuk mendakap kepelbagaian di kalangan kita, bukannya menjauh dan tidak mahu berbincang mengenainya.

Khairy juga mengatakan bahawa pendakwaan terpilih adalah punca persepsi buruk orang ramai terhadap Akta Hasutan, bukan akta itu sendiri. Memorandum Majlis Peguam menyebut, ‘pengajaran yang kita dapat ialah keadilan dalam melaksanakan undang-undang sedemikian tidak boleh bergantung pada niat baik pihak berkuasa. Undang-undang haruslah dengan sendirinya bersifat baik dan adil. Akta Hasutan 1948 bukanlah undang-undang sedemikian’.

Generasi muda Malaysia harus ingat bahawa kita adalah penjaga kebebasan negara pada masa akan datang. Kita tidak harus takut untuk melawan undang-undang yang tidak adil, dan kita tidak boleh dipesong untuk percaya bahawa undang-undang yang menindas adalah jawapan kepada keharmonian negara.

Sepanjang jalan sejarah, negara kita sudah berkali-kali akur kepada undang-undang yang menindas kebebasan rakyat. Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 hampir sahaja membunuh aktivisme mahasiswa di kampus-kampus seluruh Malaysia, membungkam suara anak mahasiswa di saat mereka sepatutnya digalakkan untuk berfikir secara kritis dan berwacana. Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 menghadkan kebebasan para wartawan, menyumbang kepada mereputnya demokrasi serta keadilan pilihanraya secara keseluruhan .

Oleh yang demikian, generasi kita sudah tidak boleh lagi akur kepada undang-undang yang menindas. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan undang-undang yang menindas tidak lagi mendapat tempat dalam masa depan negara. Namun pastinya akan ada manusia seperti ketua-ketua pemuda BN yang mempersoalkan perlunya melawan undang-undang sedemikian, tetapi nanti setelah semuanya selesai, sejarah akan mengingati mereka yang mempertahankan kebabasan, keadilan dan demokrasi.

Saya Yeo Bee Yin dan saya menyokong supaya Akta Hasutan dimansuhkan. – Roketkini.com

*Yeo Bee Yin adalah Adun Damansara Utama