Berita

Siapa yang menipu, Nancy atau Liow Tiong Lai?

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Apa sebenarnya yang berlaku ketika mesyuarat kabinet membincangkan isu ugutan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali untuk membakar Bible bahasa Melayu, sehinggakan dua menteri boleh memberi jawapan yang berlawanan?

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berkata demikian ketika mengulas jawapan berbeza Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, seperti yang dilaporkan akhbar Sin Chew Jit Poh semalam dan hari ini.

“Bagaimana dua Menteri boleh mempunyai pemahaman yang berbeza? Adakah salah seorang daripada mereka tidur ketika mesyuarat?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Akhbar Sin Chew Jit Poh semalam melaporkan, Menteri Undang-undang Nancy Shukri mendakwa mesyuarat kabinet telah mencapai keputusan berhubung isu tiadanya tindakan kepada Ibrahim Ali di atas ugutannya itu.

Nancy turut memaklumkan, keputusan itu adalah sulit dan hanya akan disampaikan kepada pihak terlibat dan akan ditimbangkan Pejabat Peguam Negara.

Namun, akhbar sama hari ini melaporkan kenyataan Liow yang menyangkal dakwaan itu dengan berkata Kabinet tidak membuat sebarang keputusan walaupun perkara itu sememangnya dibincangkan.

“Jadi soalannya sekarang, siapa yang cuba menipu orang awam – Nancy atau Liow?

“Oleh kerana Liow telah menyangkal dakwaan Nancy, kita hanya boleh menunggu jawapan balas daripada beliau (Nancy),” katanya lagi.

Pada 9 Oktober lalu, Nancy dalam jawapan Parlimen mempertahankan ugutan Ibrahim dan dengan alasan ia demi ‘mempertahankan Islam’, dan melalui satu kenyataan lain menyifatkan ia selaras dengan semangat Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan agama selain Islam dilarang disebarkan kepada masyarakat Islam.

Pada masa sama, sejumlah ahli politik Pakatan, aktivis masyarakat dan orang biasa disiasat di bawah Akta Hasutan, kononnya mengancam keselamatan dan keharmonian negara.

Dalam pada itu, Naib Presiden DAP itu juga menggesa Liow menjelaskan kegagalan Kabinet mencapai keputusan, jika dakwaannya itu benar.

“Beliau juga pernah meminta polis menjelaskan kepada orang ramai, tentang kenapa tiada tindakan diambil terhadap Ibrahim.

“Bolehkah Liow beritahu, sama ada beliau telah mendapat maklumat terperinci daripada polis? Adakah beliau boleh nyatakan sebab sebenar Ibrahim masih bebas?” soalnya lagi. – Roketkini.com