Berita

Kempen ‘Go Rural’, DAP sedia hadapi pilihanraya negeri Sarawak

KUCHING, 21 OKT: DAP Sarawak berazam melakukan ‘kejutan politik’ pada pilihanraya negeri akan datang untuk memenangi kerusi luar bandar bukan tradisional, sekaligus menambah 12 kerusi semasa DAP dalam Dewan Undangan Negeri.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata, persiapan ke arah melaksanakan agenda itu kini sedang berjalan di bawah kempen ‘Go Rural’, yang sudah bermula tahun lalu.

Menurutnya, DAP mensasarkan bahagian Selatan dan Tengah negeri itu, merangkumi kawasan seperti Sri Aman, Kapit, Pakan, Meluan, Betong, Serian, Apex, Mas Gading dan Tupong.

“Saya percaya kerja-kerja kami di kawasan ini akan turut memberi kesan di tempat lain dan menular kepada bahagian lain di Sarawak,” katanya sebelum mesyuarat ‘DAP Go Rural’ di Ibu Pejabat Negeri, semalam.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong dan Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming.

Dalam pilihanraya negeri pada tahun 2011, DAP bertanding di 15 kerusi dan berjaya memenangi 12 kerusi di Padungan, Pending, Kota Sentosa, Batu Kawah, Meradong, Karim, Bukit Assek, Dudong, Bawang Assan, Kidurong, Piasau dan Pujut.

Chieng Jen yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching menyatakan, bagi mencapai matlamat tersebut, beliau sedang mengkaji laporan interim kempen Go Rural dan pelan kerangka ‘Impian Sarawak’ mengenai pembinaan prasarana asas penduduk luar bandar.

“Kami memang serius dalam kempen Go Rural, kerana ia amat penting untuk pembangunan DAP di Sarawak dan seluruh negara.

“Perancangan jangka pertengahan kempen dan usaha-usaha di kawasan luar bandar akan lebih digiatkan,” ujarnya. -Roketkini.com