Berita

Syarikat terlibat pembalakan haram di Sabah dapat projek dari BN?

TAWAU, 21 OKT: DAP Sabah hari ini mempersoalkan tindakan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menandatangani memorandum persefahaman antara Green Power Solution Sdn Bhd (GPS) dan Current to Current (C2C) International.

Naib Pengerusi DAP negeri Chan Foong Hin berkata syarikat GPS dikenalpasti sebelum ini terlibat dalam pembalakan haram di Tawau.

Tindakan itu sekali lagi mengundang pelbagai persoalan mengenai ketelusan kerajaan BN dalam menguruskan hasil hutan di Sabah.

“Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GPS adalah seorang warga Lebanon bernama Ramzi Saad.

“Dia (Ramzi) juga adalah CEO Tawau Green Energy (TGE) yang terlibat menebang balak secara besar-besaran kononnya untuk membersihkan tapak projek kilang geoterma di sini,” kata Chan dalam satu kenyataan.

Chan pada Ogos lalu mendedahkan pembalakan haram di tapak projek kilang geoterma TGE, menyebabkan banjir yang menjejaskan kehidupan lebih 600 penduduk.

Difahamkan sejumlah 150 hektar tanah termasuk milik Taman-taman Sabah dan Jabatan Perhutanan Sabah (SFD) ditebang untuk memberi laluan kepada projek tersebut.

Selain itu, Chan turut mendesak Maximus menjelaskan tempoh pengalaman dan jenis projek yang pernah dilaksanakan syarikat tersebut berkaitan tenaga boleh diperbaharui.

“Adakah dia sangat pakar sehingga semua projek perlu diuruskannya?

“Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman sendiri mengakui dalam sidang DUN bahawa TGE tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam tenaga geoterma,” katanya.

Akhbar The Star hari ini menyatakan bahawa GPS mempunyai kepakaran dalam projek-projek tenaga boleh diperbaharui berasaskan air.

Menerusi memorandum persefahaman itu, GPS dan C2C akan meneroka tenaga boleh diperbaharui, dan tiga lokasi telah dikenalpasti sebagai kawasan berdaya maju dan berpotensi.

Chan yang juga Adun Seri Tanjong menegaskan, kerajaan BN tidak harus bersetuju dengan apa jua projek tenaga dicadangkan Ramzi sehingga TGE menyatakan lokasi tapak loji yang dicadangkan bagi membenarkan penyelidikan bebas dibuat.

Dalam pada itu kata Chan, kerajaan seharusnya menggalakkan syarikat tempatan untuk berperanan dalam industri tenaga boleh diperbaharui.

“Mengambil orang asing dan menggalakkannya menjadi jutawan tenaga boleh diperbaharui adalah isyarat yang salah kepada warga Sabah,” tegasnya. -Roketkini.com