Berita

Gani Patail punca keyakinan terhadap sistem keadilan merosot

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Sikap Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang terus membisu berhubung kontroversi siri pendakwaan Akta Hasutan serta terlepasnya Datuk Ibrahim Ali daripada sebarang tindakan menghakis keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan di Malaysia.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, kegagalan Gani memberi jawapan memuaskan bahawa tidak wujud salah guna kuasa dan pendakwaan terpilih berkaitan dua isu tersebut membangkitkan persoalan serius.

“Adakah beliau komited untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan menjadi penjaga kepentingan awam?” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Katanya, ketika puluhan ahli politik Pakatan dan aktivis disiasat di bawah Akta Hasutan, Ibrahim Ali yang mengeluarkan ugutan untuk membakar kitab Bible berbahasa Melayu pada tahun 2013 sehingga kini bebas daripada sebarang tindakan.

Malah, Gani turut menerima kritikan bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman (1980-1993), yang menyifatkan ‘serangan’ Akta Hasutan baru-baru ini sebagai penganiayaan.

“Untuk mendakwa seseorang adalah hal yang sangat serius, kerana ia memberi kesan kepada kredibilitinya. Malah jika pendakwaan digugurkan kemudian, kesannya sudah dirasai individu itu,” kata Abu Talib dipetik dari laporan The Malaysian Insider 12 September lalu.

Abu Talib merujuk kenyataan Gani bahawa beliau akan menyemak semula pendakwaan terhadap beberapa individu, termasuk pensyarah undang-undang Azmi Sharom.

Katanya ketika menjadi peguam negara, beliau hanya akan membenarkan pendakwaan dibuat jika kebarangkalian untuk menyabitkan kesalahan adalah setinggi 90 peratus.

‘Mana janji Gani untuk semak semula?’

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Gelang Patah itu menuntut janji Abdul Gani pada 9 September lalu untuk menyemak semula beberapa kes Akta Hasutan.

“Sudah tujuh minggu sejak Gani membuat janji itu. Namun tiada apa-apa perkembangan tentang keputusannya, atau sama ada ia benar-benar dibuat.

“Adakah Perdana Menteri dan Menteri Undang-undang Nancy Shukri tahu berhubung perkara itu, atau tidak tahu apa-apa langsung,” katanya lagi.

Pejabat Peguam Negara dilihat seakan-akan kebal dan tidak perlu menjawab kepada Parlimen dan rakyat.

“Kekaburan rakyat dan Parlimen berhubung Pejabat Peguam Negara tidak boleh dibiarkan dalam negara demokrasi moden yang komited dengan nilai kebertanggungjawaban dan tadbir urus yang baik.

“Ahli Parlimen Malaysia dan rakyat seluruhnya perlu mendesak agar Pejabat Peguam Negara (yang hanya dipertanggungjawabkan di bawah Perdana Menteri) untuk diletakkan di bawah pengawasan Parlimen,” katanya lagi. – Roketkini.com