Berita

Tangguh GST, agensi kerajaan sendiri tak bersedia

IPOH, 23 OKT: Kerajaan digesa untuk menangguhkan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kerana bukan sahaja rakyat Malaysia tidak faham dengan sistem percukaian baru tersebut, malah agensi kerajaan berkaitan sendiri masih belum bersedia.

Menurut Ketua Biro Pembangunan Ekonomi DAP Perak Chong Zhemin, Jabatan Kastam Diraja Malaysia melaporkan bahawa hanya 94,943 syarikat telah berdaftar bagi GST sehingga 17 Oktober tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan Chua Tee Yong dalam satu kenyataan berkata, sasaran kerajaan untuk mendaftarkan 140,000 syarikat masih terlalu jauh.

Dianggarkan terdapat kira-kira 300,000 perniagaan di Malaysia dengan perolehan melebihi setengah juta ringgit setahun yang mesti mendaftar untuk GST.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia dalam panduan pendaftarannya memaklumkan, perniagaan dengan nilai perolehan bercukai (tidak termasuk GST) bagi pembekalan untuk suatu tempoh 12 bulan atau kurang yang melebihi nilai ambang RM500,000, dikehendaki berdaftar di bawah GST.

“Kerajaan menetapkan sasaran 140,000 syarikat berdaftar menjelang akhir tahun, namun tidak sampai separuh daripada jumlah syarikat bendaftar untuk GST,” kata Chong dalam satu kenyataan.

Tambah Chong, kerajaan gagal untuk memberikan maklumat dan penerangan yang cukup selain bantuan kepada syarikat-syarikat di Malaysia yang kini dalam fasa peralihan dari cukai jualan dan perkhdimatan (SST) kepada GST.

Perkara tersebut dirumitkan lagi dengan ketidaktentuan kerajaan yang masih belum memuktamadkan sama ada minyak petrol RON95 dan diesel akan dikecualikan daripada GST.

Daripada pengumuman Perdana Menteri Datuk Serti Najib Razak dalam ucapan Belanjawan 2015, boleh ditafsirkan bahawa petrol RON95 dan diesel berkadar sifar dan tidak disenarai sebagai item berkecuali daripada GST.

Dalam masa sama, kerajaan turut menyenaraikan 900 item dikecualikan daripada dikenakan GST, menjadikan Malaysia negara yang mempunyai senarai terpanjang jenis barangan yang dikecualikan daripada cukai tersebut di Asia Tenggara.

DAP sebelum ini menjelaskan, masyarakat peniaga terpaksa memisahkan beberapa akaun berikutan perniagaannya melibatkan jenis barangan yang disenarai sebagai cukai GST berkadar sifar, yang membebankan pentadbiran perniagaan.

Sesetengah perniagaan terdorong mengelak cukai ke atas bekalan yang dikenakan cukai walaupun tidak berhasrat untuk mengelak, namun secara tidak sengaja boleh melakukan kesilapan akibat kerumitan tersebut, sekaligus meningkatkan kos pentadbiran.

GST turut meletakkan 80 peratus pekerja Malaysia berpendapatan rendah dan sederhana yang tidak layak membayar cukai pendapatan dalam kedudukan tidak seimbang, dalam masa sama melepaskan baki 20 peratus pekerja Malaysia melalui pemotongan faedah cukai pendapatan.

“Dalam masa lima bulan menjelang pelaksanaan GST, bukan sahaja rakyat Malaysia tidak bersedia, Barisan Nasional sendiri pun belum bersedia,” kata Chong menggesa kerajaan menarik semula rancangan melaksanakan cukai tersebut. – Roketkini.com