Berita

DAP gesa Baitulmal Sarawak kemuka laporan kewangan

KUCHING, 24 OKT: DAP mempersoalkan tindakan Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Sarawak (LAKMNS) dan Baitulmal Sarawak (TBS) yang enggan menyatakan laporan tahunan kewangan mereka.

Pembantu Khas Pengerusi DAP Sarawak Abdul Aziz Isa berkata, laporan tersebut perlu dikemukakan kerana melibatkan kepentingan awam, khususnya umat Islam di negeri ini.

“Wang dikutip TBS setiap tahun adalah daripada pembayar zakat. Adalah hak rakyat untuk tahu ke mana wang itu pergi dan bagaimana ia dibelanjakan.

“TBS seharusnya memiliki salinan penyata kewangan yang sedia untuk dibuat semakan awam pada bila-bila masa,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mempertikaikan LAKMNS yang bertanggungjawab menjaga kebajikan di Sarawak, namun mengambil sikap lepas tangan dan tidak menyalurkan dana secukupnya menyebabkan sebahagian umat Islam di negeri ini hidup dalam kesempitan.

Lebih menyedihkan, kedua-dua badan terbabit dilaporkan menggunakan wang zakat untuk membina projek mega atas nama agama, sekaligus memberikan keuntungan kepada syarikat-syarikat dan kontraktor tertentu.

“Kenapa ini berlaku? Bagaimana LAKMNS boleh memberikan dana yang sangat kecil kepada sebuah masjid, tetapi mampu untuk membina Bangunan Baitulmakmur 2 (MASJA 2)?” soalnya.

“Jika LAKMNS termasuk TBS boleh membina projek mega seperti Kompleks Islam Kuching (KIC), Kompleks Islam Sibu (SIC) dan Kompleks Miri Islam (MIC), mengapa masih ramai orang Muslim yang hidup dalam kemiskinan?

“Undang-undang Islam manakah yang membolehkan wang zakat digunakan untuk membina bangunan sebagai lambang kemegahan?” soalnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kedua-dua lembaga berkenaan agar mendedahkan laporan kewangan secepat mungkin.

“DAP akan membawa perkara ini dalam sidang DUN November ini dan kami berharap Menteri dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Islam menjawabnya,” kata Aziz. – Roketkini.com