Berita

Inisiatif ‘negeri hijau’ Pulau Pinang terus dapat sambutan

GEORGE TOWN, 24 OKT: Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited kepada usaha memulihara alam sekitar melalui inisiatif yang dikelola Penang Green Council melalui program Warga Hijau Pulau Pinang dan Program Rakan Hijau Pulau Pinang.

Kedua-dua program yang dilancarkan sejak 2010 itu bertujuan meningkatkan penglibatan warga Pulau Pinang dari semua peringkat untuk mengamalkan sekurang-kurangnya satu ‘inisiatif hijau’ seperti menjimatkan air dan tenaga untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah Negeri Hijau.

Terbaru, seruan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat disahut dua syarikat, sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat mereka.

Bagi memulakan inisiatif hijau mereka, HAIRFINDER & Beauty Sdn Bhd dan Greenxagon Marketing Sdn Bhd menyasarkan sebanyak 20 peniaga dan 200 peserta untuk mendaftar dalam kedua-dua program Warga Hijau dan Rakan Hijau Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Tanjung Ng Wei Aik dalam ucapannya di majlis pelancaran produk syarikat tersebut menyatakan penghargaan terhadap kesedaran orang ramai untuk terus menggunakan produk-produk mesra alam.

“Saya percaya bahawa kesedaran pengusaha-pengusaha salon dan pendandan terhadap bahaya yang mungkin tersembunyi dalam bahan-bahan kimia produk yang mereka gunakan setiap hari semakin meningkat,” kata Ng.

Beliau berkata demikian di majlis pelancaran produk rambut HAIRFINDER & Beauty Sdn Bhd dan Greenxagon Marketing Sdn Bhd – Wizout dengan tema “Ke Arah Hijau bersama E2O”.

E2O adalah singkatan kepada Ekologikal, Etika, Organik yang antara lain menekankan penggunaan kertas kitar semula, penggunaan minyak acai yang memberi manfaat kepada ratusan komuniti Amazon, serta penggunaan minyak argan yang organik.

Kata Ng, pengenalan Wizout membantu pengusaha salon, pendandan rambut dan pengguna mempromosikan kualiti kesihatan serta persekitaran kerja yang bebas daripada bahan kimia.

Sehingga kini lebih 14,000 warga Pulau Pinang menyatakan komitmen untuk menjadi Warga Hijau, manakala lebih 200 peniaga telah berdaftar sebagai Rakan Hijau.

“Kami mengajak lebih ramai warga dan peniaga Pulau Pinang untuk mengambil bahagian dalam Program Warga Hijau dan Rakan Hijau Pulau Pinang dengan mengamalkan sekurang-kurangnya satu inisiatif hijau setiap hari,” kata Ng yang juga Pengerusi Program Warga Hijau Pulau Pinang. – Roketkini.com.