Berita

Jangan perjudikan pendidikan kerana politik – Lim Guan Eng

GEORGE TOWN, 24 OKT: Ketua Menteri Pulau Pinang menggesa agar jangan ada pihak yang mengancam untuk menutup sekolah vernakular semata-mata untuk mendapat sokongan politik.

“Jangan kerana politik, kita politikkan pendidikan. Pendidikan sangat penting untuk masa depan anak-anak kita,” katanya dalam sidang media semalam.

Beliau menyelar tindakan pemimpin Umno, termasuk Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang masih mempersoalkan perkara itu sedangkan perkara tersebut dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Itu memang bercanggah dengan Perlembagaan yang beri jaminan kepada rakyat untuk menggunakan dan belajar bahasa ibunda,” katanya lagi.

Pada 20 Oktober lalu, Zahid mencadangkan agar sistem vernakular diadakan sehingga peringkat rendah sahaja, manakala sekolah satu aliran apabila memasuki peringkat menengah.

Tanpa merujuk secara langsung kepada Zahid, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem menyifatkan cadangan menutup Sekolah Jenis Kebangsaan sebagai ‘cakap bodoh’ dan memberi jaminan bahawa ia tidak akan berlaku di negeri itu.

Malah, beliau turut mengumumkan sumbangan RM3 juta kepada Sarawak United Association of Private Chinese Secondary School Managemnet Board, untuk diagihkan kepada semua 14 sekolah swasta Cina di sana.

Memuji langkah itu, Setiausaha Agung DAP itu berharap agar jaminan tersebut akan diterjemahkan melalui pelaksanaan.

“Kita harap ia dapat dilaksanakan. Begitu juga dengan kenyataan Adenan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (Unified Examination) yang dijalankan di Sekolah Tinggi Persendirian,” katanya.

Beliau juga berharap pemimpin Umno akan mencontohi komitmen Adenan dan tidak lagi mempersoalkan kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.

“Ia hanya menimbulkan kerisauan kepada masyarakat Cina dan Tamil.

“Umno perlu hentikan cadangan ‘cakap bodoh’ ini. Adakah mereka juga mahu semua sekolah antarabangsa yang gunakan Bahasa Inggeris turut ditutup?” soalnya lagi. – Roketkini.com