Berita

Pencegahan Rasuah: Indonesia semakin ke depan, Malaysia mundur ke belakang

KUALA LUMPUR, 25 OKT: DAP memohon kerajaan BN mengemukakan strategi berkesan untuk menghindari ‘bencana’ didahului oleh Indonesia dalam usaha memerangi rasuah.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, sejak kebelakangan ini Indonesia dilihat begitu bersungguh-sungguh dengan beberapa langkah proaktif untuk membasmi masalah tersebut berbanding negara jiran lain, termasuk Malaysia, di Asia Tenggara.

Menurutnya, terdapat perbezaan sangat besar dalam usaha memerangi rasuah antara kedua-dua negara berdasarkan laporan media bulan lalu.

“Sebagai contoh, salah satu berita paling menarik berkenaan pembasmian rasuah di negara ini adalah ‘8 pegawai kastam hadapi 28 tuduhan kes rasuah’.

“Tetapi, berita itu tidak membawa sebarang makna jika dibandingkan dengan laporan dari Indonesia seminggu sebelumnya iaitu ‘Bekas pemimpin parti pemerintah Indonesia dikenakan 8 tahun penjara akibat rasuah dan pengubahan wang haram (money laundering)’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu menyatakan, apa yang lebih mengesankan lagi berkenaan usaha Indonesia adalah janji Presiden barunya Joko Widodo (Jokowi) untuk menggantikan lapan calon menteri berikutan cadangan dari Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK).

KPK telah mengusulkan cadangan itu selepas mendapati kelapan-lapan mereka ‘berisiko tinggi’ sebagai suspek kegiatan rasuah.

Sedangkan di Malaysia, perjuangan negara dalam mencegah kegiatan rasuah semakin merosot.

Jelas Kit Siang, sebagai contoh, laporan beberapa media 27 September lalu yang mendedahkan hasil kajian firma Ernst and Young yang menunjukkan bahawa Malaysia sebagai salah satu negara yang paling korup di dunia.

Lebih memalukan tambahnya, laporan pada 8 Oktober lalu yang memetik kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim bahawa kerajaan tidak berhasrat memperluas kuasa SPRM bagi menjalankan siasatan ke atas kakitangan kerajaan yang hidup ‘mewah’ melampaui pendapatan mereka.

“Jadi, bolehkah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atau SPRM menjelaskan mengapa Malaysia ketinggalan begitu jauh daripada Indonesia dalam usaha dan keputusan berkenaan pencegahan rasuah?

“Tidak ada langsung ‘ikan besar’ di Malaysia pernah ditangkap, didakwa dan dipenjarakan, sedangkan ia telah menjadi sangat biasa di Indonesia.

“Apakah Najib dan SPRM mempunyai strategi untuk mencegah bencana ini?” tegasnya. -Roketkini.com