Berita

DAP kecam tindakan UM larang program pelajar bersama Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Tindakan Universiti Malaya (UM) melarang pelajarnya mengadakan program bersama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim atas alasan ‘mencemar imej universiti’ tidak masuk akal sama sekali.

Naib Pengerusi DAP Teresa Kok Suh Sim berkata, keputusan UM untuk menghalang program anjuran Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) yang dijadualkan pada 27 Oktober ini akan menjadi satu lagi lawak jenaka dunia.

“Anwar adalah seorang wakil rakyat dan Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia. Dia bebas untuk berucap di mana-mana ceramah dan dialog di seluruh negara.

“Beliau telah dijemput untuk berucap di pelbagai universiti di luar negara. Jadi apa alasan kukuh dan dapat diterima oleh pentadbiran UM untuk melarang Anwar dari berucap bersama pelajar?

“Apakah Anwar boleh mengugat ketenteraman awam? Perkara ini tidak pernah timbul kerana beliau telah menjelajah dan berucap di seluruh negara tanpa sebarang masalah menggugat atau mengganggu ketenteraman awam,” tegas Teresa dalam satu kenyataan.

Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh menegaskan, alasan bahawa Anwar merupakan penceramah politik kontroversi juga tidak boleh diterima pakai kerana universiti sepatutnya menjadi tempat di mana semua pandangan harus didengar, dibahas dan dicabar.

“Apakah Anwar akan memberikan pandangan berat sebelah terhadap kerajaan? Alasan ini tidak masuk akal sebab kelab lain di UM boleh menjemput pemimpin kerajaan untuk memberikan ucapan balas jika mereka mahu,” katanya.

Ketua Umum PKR Anwar dijemput oleh PMUM untuk berucap dalam program ’40 Tahun: Dari UM ke Penjara’, sehari sebelum rayuan kes Fitnah di Mahkamah Persekutuan berlangsung.

Presiden PMUM Fahmi Zainol yang bertanggungjawab menganjur dan menjemput Anwar kini menghadapi kemungkinan digantung serta didenda jika beliau berdegil meneruskan program.

Pentadbiran UM 24 Oktober lalu telah mengelurkan surat tunjuk sebab kepada Fahmi atas dakwaan ‘cuba mencemar imej universiti’

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UM Profesor Datuk Dr Rohana Yusof sebelum ini menyatakan, universiti itu tidak akan membenar atau menyokong program sedemikian kerana bertentangan dengan peraturan dan boleh mengakibatkan kedudukan beliau sendiri sebagai ahli akademik dipandang serong.

Menyelar dakwaan itu, Teresa berkata, apa jua alasan pengharaman terhadap pemimpin pembangkang tidak pernah berlaku di mana-mana universiti di Amerika Syarikat, Australia dan United Kingdom.

“Menjemput pemimpin pembangkang memburukkan nama universiti? Ini satu lagi alasan yang tidak masuk akal.

“Program sebegini sepatutnya dibenarkan seperti yang dijadual, kerana ia akan meningkatkan lagi reputasi universiti, sekaligus mencerminkan kesediaan untuk menghormati hak kepimpinan pelajar.

Teresa turut menggesa UM menimbang semula keputusan pengharaman itu dan memohon pihak pentadbir untuk membenarkan ia tetap dapat dijalankan.

“UM akan menjadi bahan lawak jenaka dikalangan ahli akademik antarabangsa dan reputasinya pasti akan lebih terjejas jika program ini tidak dibenarkan berlangsung.

“Bukan saja UM, malah kerajaan dan negara turut akan terpalit dengan imej negatif,” ujarnya. -Roketkini.com