Berita

Buktikan pembinaan tapak kilang geoterma tak jadi projek balak

TAWAU, 27 OKT: Naib Pengerusi DAP Sabah Chan Foong Hin hari ini mencabar Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah Datuk Sam Mannam untuk membuat lawatan bersama ke tapak projek kilang janakuasa geoterma Tawau Green Energy.

Ia bagi membuktikan kebenaran dakwaan Mannam bahawa kadar pembalakan haram di Sabah kini adalah pada kadar terendah untuk tempoh 30 tahun.

Menyambut baik kenyataan itu, Chan bagaimanapun berkata, ia tidak memberi makna apa-apa jika tidak dibuktikan dengan keadaan sebenar.

“Beliau telah membuat kenyataan itu, maka tiada apa yang patut menghalangnya daripada membenarkan DAP dan NGO melawat tapak projek di Apas Kiri, Tawau, itu.

“Kalau sudah lihat barulah boleh percaya. Sudah berulang kali saya mencadangkan lawatan bersama ke sana kerana pembersihan kawasan di sana sering dikatakan melibatkan pembalakan secara meluas,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut laporan Daily Express semalam, Mannam menafikan pembalakan meluas merupakan punca bencana banjir besar yang melanda Sabah baru-baru ini serta menafi meluluskan lesen pembalakan seluas 400 hektar seperti yang dilaporkan media.

Kata Adun Seri Tanjong itu lagi, jumlah balak yang ditebang serta keluasan tanah yang terlibat dalam projek TGE setakat ini tidak konsisten.

“Angka terbaru oleh kerajaan menunjukkan maksimum 450 hektar hutan akan dibersihkan bagi pembinaan projek itu. Namun ia bertentangan dengan apa yang dilihat penduduk setempat dalam masa dua tahun kebelakangan ini.

Oleh itu, katanya lagi, lawatan bersama perlu dilakukan bagi melihat sendiri apa yang sebenarnya berlaku di sana.

“Saya amat berharap agar projek janakuasa geoterma yang pertama ini adalah ‘projek hijau’ yang sebenar-benarnya. Pihak berkuasa perlu meyakinkan kita bahawa projek ini adalah tulen dan benar-benar berjalan, bukannya ditukar kepada konsesi balak sahaja.

“Sebagai wakil rakyat di Tawau, adalah tanggungjawab saya untuk mencari kebenaran berhubung dakwaan berlakunya pembalakan besar-besaran di sana,” katanya lagi.

Justeru, beliau menggesa agar Mannam menjelaskan prosedur kepadanya serta NGO alam sekitar yang ingin melawat tapak projek itu bersama-sama Jabatan Perhutanan Negeri dan pengurusan TGE. – Roketkini.com