Berita

PM perlu bentang kesan penurunan harga minyak kepada pendapatan negara

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu memberi penerangan di Parlimen berhubung penurunan harga minyak dunia yang berlaku baru-baru ini dan kesannya kepada belanjawan negara, kata Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong.

Menyifatkannya sebagai situasi ‘black swan’ (keadaan yang muncul secara terpencil dan mengejut namun memberi kesan besar), Chin Tong berkata penurunan tersebut memberi kesan besar kepada belanjawan serta mengubah tahap defisit negara.

“Ternyata kita memerlukan anggaran baru. Belanjawan adalah sesuatu yang dinamik,” kata Chin Tong, dipetik dari teks ucapan parlimennya hari ini.

Pada 16 Oktober lalu, harga Brent (nilai piawaian minyak yang bersumber dari Eropah) ditutup pada USD84.47 setong.

Menurut anggaran hasil kerajaan pusat untuk tahun 2015, cukai pendapatan petroleum dikira berdasarkan harga minyak mentah, iaitu USD110 setong bagi tahun 2014 dan USD105 setong bagi tahun 2015.

“Namun, harga minyak mentah telah turun sehingga mencecah USD80-85 setong pada dua minggu ini.

“Menurut anggaran yang dilaporkan The Edge Financial Weekly, setiap penurunan USD1 bagi setiap tong akan menyebabkan negara kerugian hasil sebanyak RM650 juta,” kata Pengarah Pendidikan Politik DAP itu lagi.

Dengan kata lain, penurunan sebanyak USD20 (daripada USD105 kepada USD85) akan menyebabkan negara kekurangan hasil sebanyak RM13 bilion.

“Jika ia terus jatuh sehingga USD75 setong, negara akan kerugian hasil RM19.5 bilion. Kemerosotan sehingga USD65 setong pula, kita akan kehilangan sejumlah RM26 bilion,” katanya lagi.

Justeru itu, Chin Tong mendesak Najib untuk membawa isu sepenting ini ke Parlimen.

“Najib selaku Menteri Penerangan memiliki tanggungjawab moral untuk sentiasa memberi maklumat terbaru kepada parlimen berhubung keadaan kewangan negara, terutama ketika belanjawan dibahas seperti sekarang,” katanya lagi. – Roketkini.com