Rencana

Pengadilan Anwar Ibrahim dan implikasinya terhadap masyarakat antarabangsa

Tanggal 28 Oktober 2014, masyarakat antarabangsa sedang memerhatikan Malaysia berikutan kes liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, tokoh politik yang dianggap paling kontroversial di Malaysia. Penghakiman kali ini penting kerana ia menyingkap kesungguhan Malaysia untuk menempatkan dirinya dalam peralihan sistem demokrasi di rantau Asia Tenggara.

Masyarakat antarabangsa sedang melihat sejauh mana Malaysia, komited untuk melaksanakan agenda reformasi sistem politik di Malaysia.

Pertama, pengadilan terhadap Anwar Ibrahim memainkan peranan penting untuk melihat kesungguhan kerajaan untuk menerusi agenda reformasi politik seperti yang dicanangkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak. Kedua, kes ini juga simbolik terhadap usaha untuk memulihkan imej sistem kehakiman negara yang calar berikutan skandal membabitkan campur-tangan ‘orang atasan’ di dalam institusi kehakiman tertinggi negara.

Ketiga, ia menzahirkan kesungguhan Malaysia untuk memperbaiki rekod hak asasi manusia. Keempat, kes ini bakal memberikan kesan diplomatik Malaysia dan dunia Islam. Kelima, ia menzahirkan masa depan politik pembangkang di Malaysia menerusi gabungan politik Pakatan Rakyat.

Tekanan masyarakat antarabangsa ke atas perbicaraan Anwar Ibrahim

Perbicaraan kali ini mendapat perhatian gerakan sivil dan badan bukan-kerajaan (NGO) di seluruh dunia. Wakil pemerhati daripada Inter-Parlimentary Union (IPU), International Court of Justice (ICJ), Human Right Watch (HRW), Amnesty International mengikut rapat perbicaraan kali ini. Amnesty International, misalnya, telah memohon supaya kerajaan Malaysia menghentikan pendakwaan politik terhadap Anwar Ibrahim. HRW menggesa Malaysia supaya memberikan keadilan kepada Anwar.

Pendakwaan kali ini jelas bermotif politik. Justeru itu, ia menggambarkan kesungguhan Malaysia untuk memperbaiki mutu demokrasi di Malaysia. Portal Bloomberg melaporkan pendakwaan Anwar Ibrahim sebagai ‘satu langkah mundur buat demokrasi’ buat Malaysia dan menggambarkan Indonesia di bawah pentadbiran Jokowi sebagai berita baik ke arah proses pendemokrasian di rantau Asia Tenggara.

Pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak telah menjanjikan perubahan politik di Malaysia sebelum ini. Langkah beliau benar-benar teruji menerusi kes pendakwaan membabitkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Masyarakat antarabangsa menilai kes ini sebagai batu loncatan ke arah proses demokrasi di Malaysia. Kes ini dianggap sebagai pendakwaan bersifat politik. Sekiranya Malaysia mahu dilihat penting oleh masyarakat antarabangsa, maka, Malaysia perlu berhati-hati dengan perbicaraan kes ini.

Usaha memulihkan sistem kehakiman negara

Tatkala ini, kes perbicaraan Anwar Ibrahim ini menduga usaha untuk memulihkan imej sistem perundangan yang calar teruk. Penglibatan peguam yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin UMNO, Datuk Shafee Abdullah, untuk mengetuai pendakwaan ke atas Anwar Ibrahim membawa persepsi yang buruk terhadap kebebasan institusi kehakiman di Malaysia.

Proses pendakwaan yang meragukan seperti saksi utama yang tidak dipanggil memberi keterangan, kelemahan barang bukti, dan jawapan plaintiff yang tidak konsisten merencatkan lagi usaha untuk membebaskan institusi penghakiman daripada campurtangan politik.

Phil Robertson, timbalan pengarah Human Right Watch cawangan Asia Pasifik mendakwa kes liwat ini yang melibatkan campurtangan politik dan pendakwaan ke atas Anwar Ibrahim harus segera dihentikan. Bekas presiden Filipina Joseph Estrada telah mengutuskan surat memohon kerajaan Malaysia menghentikan kezaliman politik ke atas musuh politik mereka. Senator bebas dari Australia Nick Xenophobe pula menggesa Malaysia menamatkan intimidasi politik ke atas Anwar Ibrahim.

Masa depan hak asasi manusia

Salah satu inti penting daripada Universal Declaration of Human Right (UDHR) 1948 adalah jaminan hak mendapat perbicaraan yang adil (right of free trial). Perbicaraan kali ini menguji sejauh mana akses terhadap kes perbicaraan Anwar Ibrahim buat seluruh rakyat Malaysia.

Kerajaan Malaysia hanya menandatangani 3 daripada 8 perjanjian hak asasi antarabangsa yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Laporan yang dikeluarkan oleh Universal Periodic Review (UPR) menunjukkan bahawa penindasan hak asasi manusia di Malaysia masih tidak memuaskan.

Amnesty International, badan hak asasi yang berprestij di dunia telah mengeluarkan amaran bahawa Anwar Ibrahim adalah ‘prisoner of conscience’ sekiranya disabitkan bersalah. Jelas bahawa masyarakat antarabangsa melihat pendakwaan ke atas Anwar Ibrahim adalah konspirasi politik untuk melemahkan politik oposisi di Malaysia.

Kes Anwar Ibrahim adalah kemuncak kepada penindasan hak asasi di Malaysia. Sekiranya, perbicaraan kes ini dianggap berat sebelah, maka, Malaysia tidak dilihat serius untuk memperbaiki rekod hak asasi manusia yang semakin corot.

Kesan diplomatik terhadap dunia Islam

Malaysia dianggap memiliki hubungan penting dengan dunia Islam. Gagasan wasatiyah dan moderat yang cuba dimainkan oleh Malaysia, setidaknya memainkan peranan penting untuk menghindari kelompok muslim garis-keras seperti Islamic State, Al-Qaeda, dan Boko Haram.

Namun, pendakwaan terhadap Anwar Ibrahim akan mencalarkan hubungan rapat di antara Malaysia dan dunia Islam. Tidak dapat dinafikan bahawa Anwar Ibrahim mempunyai dukungan yang kuat di kalangan masyarakat Islam antarabangsa. Presiden Kesatuan Ulama Sedunia Dr Yusof Qaradawi menyampaikan perutusan khas menggesa kerajaan Malaysia menghentikan kezaliman dan fitnah terhadap Anwar Ibrahim.

Tokoh ulama Islam seperti Maulana Ihsan Hendrick, Syeikh Mustafa Ceric dan Rashid Ghannoushi menggesa supaya Anwar Ibrahim mendapat keadilan. Selain itu, Anwar mempunyai pengaruh yang agak kuat di beberapa negara Islam yang berpengaruh seperti Turki, Indonesia dan Mesir. Ketidakadilan terhadap Anwar akan menyebabkan hubungan diplomatik Malaysia dan dunia Islam menjadi semakin renggang.