Berita

Hentikan perkahwinan kanak-kanak, tetapkan segera had umur minima

KUALA LUMPUR, 30 OKT: DAP mendesak kerajaan agar menetapkan had umur minima perkahwinan untuk pasangan muda supaya masalah perkahwinan kanak-kanak dapat dibendung.

Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata, walaupun undang-undang sedia ada menyatakan rakyat Malaysia berusia 16 ke 18 tahun sudah boleh berkahwin, namun ada situasi yang membenarkan mereka untuk melangsungkannya pada usia lebih muda.

“Kerajaan tidak hanya tertakluk kepada Perkara 16(2) Konvensyen berkaitan Penghapusan segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW), malah telah menerima pakai resolusi PBB untuk menghentikan perkahwinan awal dan paksa kanak-kanak pada Majlis Hak Asasi Manusia, Oktober lalu.

“Jadi sudah tiba masanya bagi kita untuk meminda undang-undang yang mencerminkan niat dan membolehkan janji-janji itu ditunaikan,” katanya dalam ucapan Belanjawan 2015 di Dewan Rakyat, semalam.

Aktivis sosial Zainah Anwar pada tahun 2010 telah menyebut dalam sebuah laporan bahawa data yang dikumpul melalui Bancian Populasi dan Perumahan 2000 menunjukkan 6800 perempuan di bawah umur 15 tahun telah berkahwin.

Menurutnya, Selangor mencatat jumlah yang tertinggi, diikuti Sabah.

Melayu mencatat jumlah tertinggi dengan 2450 orang. Selain itu, dari kalangan mereka yang berusia 10 hingga 14 tahun, terdapat 235 kanak-kanak telah menjadi balu dan 77 telah diceraikan atau ditinggalkan oleh pasangan mereka.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP itu turut menggesa kerajaan untuk menegakkan kesaksamaan gender, sekaligus meningkatkan lagi kedudukan wanita di Malaysia.

“Jawatankuasa CEDAW menegaskan bahawa negara kita memerlukan undang-undang baru yang mengarah secara khusus terhadap penghapusan diskriminasi seks dan gender.

“Daripada 222 Ahli Parlimen yang dipilih, 199 adalah lelaki. Sokongan daripada rakan-rakan lelaki diperlukan untuk meningkatkan kedudukan wanita, jika tidak mustahil untuk rang undang-undang itu dapat diluluskan. -Roketkini.com