Berita

Belanjawan 2015: Najib abai pembangunan rakyat, pertingkat peruntukan untuk jabatan sendiri

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Belanjawan 2015 Kerajaan BN baru-baru ini jelas menunjukkan bagaimana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terlalu mengawal peruntukan pembangunan untuk disalurkan kepada jabatannya sendiri.

Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong berkata, satu per empat daripada jumlah peruntukan pembangunan telah diambil oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Pada tahun 2006, JPM hanya mengambil RM2 bilion, iaitu 5.6 peratus daripada jumlah peruntukan pembangunan tetapi jumlah itu meningkat lebih enam kali ganda kepada RM13 bilion pada 2015.

Untuk Belanjawan 2015, kerajaan telah memperuntukkan hanya 18 peratus atau RM50.5 bilion untuk pembangunan. Bagaimanapun, 25 peratus dari jumlah peruntukan yang kecil itu diambil pula oleh JPM.

“Pemusatan sumber kewangan di tangan Najib tiada bandingannya dan belum pernah terjadi sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pengarah Pendidikan Politik DAP itu menyatakan, berdasarkan perangkaan yang telah beliau kumpulkan, peruntukan JPM meningkat setiap tahun bermula dari tahun 2008.

Katanya, peruntukan JPM pada tahun 2006 adalah 2.5 peratus (RM4 bilion) daripada jumlah belanjawan.

“Sejak itu, ia telah meningkat kepada 3.8 peratus pada tahun 2008 (RM6.9 bilion), 4.9 peratus pada 2009 (RM10.2 bilion), 5.6 peratus pada 2010 (RM11.9 bilion) dan 7 peratus pada 2015 (RM19 bilion).

“Daripada dana pembangunan yang diberikan kepada JPM, sebahagian besar ditentukan penggunaannya secara sewenang-sewenangnya oleh Najib sendiri.

“Antaranya perkara besar untuk belanjawan pembangunan JPM ialah Dana Pemudahcara (RM2.5 bilion) dan peruntukan untuk “Projek Khas” (RM1.6 bilion),” ujarnya.

Chin Tong memaklumkan, beliau akan membangkitkan perkara ini sewaktu perbahasan belanjawan di peringkat jawatankuasa nanti.