Berita

BN sekali lagi gagal pertahan hak beragama rakyat Sabah dan Sarawak

KUALA LUMPUR, 31 OKT – Perdana Menteri Najib Razak digesa memulangkan semula cakera padat dan buku-buku milik seorang penganut agama Kristian di Sabah yang dirampas di KLIA2 semalam gara-gara kononnya mengandungi kalimah ‘Allah’.

Menurut laporan media, bahan-bahan tersebut telah dibawa dari Medan, Indonesia, dalam perjalanan pulang ke Sabah.

Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming menyifatkan kejadian terbaru membabitkan kontroversi kalimah ‘Allah’ ini sebagai bukti bahawa jaminan Perdana Menteri terhadap masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak langsung tidak boleh dipakai.

Hanya setahun lalu Najib memberi jaminan bahawa keputusan mahkamah untuk tidak membenarkan akhbar Herald menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitannya, tidak akan memberi kesan kepada penduduk Kristian di Sabah dan Sarawak.

“Rampasan ini sekali lagi menunjukkan bahawa tidak ada sebarang jaminan bagi masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak bahawa kitab Bible yang dicetak di Indonesia dan diimport ke Malaysia tidak akan dirampas oleh pihak berkuasa,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Menurut beliau lagi rampasan terbaru ini menunjukkan kegagalan Kerajaan Persekutuan untuk mempertahankan kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

“Saya menggesa Perdana Menteri untuk mengarahkan Menteri Dalam Negeri untuk mengembalikan bahan-bahan milik warga Kristian Sabah tersebut dengan segera,” katanya tegas.

“Kegagalan berbuat demikian akan mengesahkan bahawa Perdana Menteri ibarat harimau tak bergigi yang tidak mampu memastikan menterinya sendiri melaksanakan janji Perdana Menteri kepada rakyat,” tambah beliau.

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok turut meluahkan kemarahannya terhadap rampasan terbabit yang jelas menunjukkan bahawa Penyelesaian 10 Perkara yang digariskan Kabinet untuk memelihara hak dan kepentingan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak telah gagal dipatuhi.

“Ia juga mengesahkan kemunafikan jaminan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan bahawa keputusan mahkamah mengenai kalimah ‘Allah’ tidak akan memberi kesan kepada penduduk Malaysia Timur,” ujarnya dalam satu kenyataan.

“Insiden yang berlaku jelas menyalahi Penyelesaian 10 Perkara yang digariskan Kabinet serta deklarasi kebebasan beragama di Sabah seperti yang tertulis pada Batu Sumpah,” tambahnya.

Awal tahun ini sejumlah kitab Bible berbahasa Melayu dan Iban turut dirampas pihak berkuasa dari premis Bible Society of Malaysia lantaran menggunakan kalimah ‘Allah’.

Naskhah-naskhah tersebut masih belum dikembalikan. -Roketkini.com